Bandar Seri Begawan & Kuala Belait, 04 – 05 November 2025 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) melalui Bahagian Siasatan Jenayah Siber (BSJS), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) terus komited dalam meningkatkan kesedaran mengenai ancaman jenayah siber kepada pelbagai lapisan masyarakat melalui program taklimat dan sesi penerangan yang dijalankan secara berterusan di seluruh negara.
Pada 04 November 2025, BSJS telah dijemput untuk menyampaikan taklimat mengenai Penipuan Dalam Talian semasa Program Persediaan Persaraan di Institut Perkhidmatan Awam (IPA), yang dihadiri oleh 39 orang peserta yang bakal bersara. Taklimat yang disampaikan adalah untuk memberikan pendedahan kepada taktik-taktik penipuan yang sering dilakukan melalui platform media sosial, serta menekankan kepentingan untuk tidak mengongsikan maklumat peribadi dan kewangan kepada pihak yang tidak dikenali.
Sementara itu, pada 05 November 2025, BSJS dengan kerjasama Unit Siasatan Jenayah Penderaan Wanita dan Kanak-Kanak (USJPWK) telah mengadakan Taklimat Kesedaran Jenayah Siber dan Buli kepada 50 orang pelajar Tahun 6 di Sekolah Rendah Chung Ching Seria, Kuala Belait. Sesi ini bertujuan untuk membimbing generasi muda agar lebih peka dan berhati-hati ketika menggunakan internet, serta mengetahui langkah-langkah asas keselamatan digital. Selain itu, pelajar juga diberi pendedahan mengenai isu buli dan buli siber, termasuk kesannya terhadap mangsa dan jugaj cara untuk mendapatkan bantuan atau melaporkan kejadian buli. Pengetua sekolah, Chin Chiew Eng, turut hadir bagi menyokong usaha pendidikan keselamatan siber dan pencegahan buli dalam kalangan pelajar.


PPDB menyeru masyarakat, sama ada individu dewasa, pelajar sekolah, mahupun warga yang bakal bersara, agar sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga ketika berurusan secara dalam talian. Pihak sekolah, jabatan kerajaan serta badan-badan komuniti digalakkan untuk terus menganjurkan program pendidikan keselamatan siber bagi memperkukuhkan pengetahuan dan kesedaran bersama.
Melalui usaha berterusan ini, PPDB kekal komited untuk membimbing dan melindungi masyarakat daripada menjadi mangsa penipuan serta ancaman siber yang semakin berkembang, selaras dengan peranan bersama dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI