TEMBURONG, Selasa 21 Oktober 2025 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah menerima maklumat berhubung dua buah kenderaan yang mencurigakan dan dipercayai membawa barang-barang tegahan di kawasan Kg. Tanjung Bungar.
Bertindak atas maklumat tersebut, sepasukan anggota dari Balai Polis Bangar telah menjalankan pemeriksaan di kawasan berkenaan dan berjaya menahan kedua-dua kenderaan tersebut. Hasil pemeriksaan mendapati kenderaan terbabit menyimpan sebanyak 120 botol minuman keras pelbagai jenis dan satu paket rokok.
Susulan penemuan itu, tiga orang suspek terdiri daripada dua wanita dan seorang lelaki warga tempatan, masing-masing berumur dalam lingkungan 40 tahun, telah ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti membawa barang-barang tegahan.
Kesemua suspek bersama barang-barang rampasan telah diserahkan kepada Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) untuk tindakan dan siasatan lanjut.
Orang ramai dinasihatkan agar tidak terlibat dalam aktiviti penyeludupan barangtegahan dan digalakkan untuk menyalurkan sebarang maklumat berhubung kegiatan mencurigakan atau menyalahi undang-undang kepada pihak polis melalui Talian Kecemasan 993 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI