Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

PENEMUAN BAYI PEREMPUAN DI KAWASAN SEKOLAH UGAMA DI KG KUPANG, TUTONG

​TUTONG, Jumaat, 17 Oktober 2025 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) mengesahkan telah menerima laporan melalui talian kecemasan 993 mengenai penemuan seorang bayi perempuan yang telah ditinggalkan dikawasan Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah, Kg. Kupang, Tutong, sekitar jam10 pagi pada 17 Oktober 2025.

Menurut keterangan saksi, semasa saksi sampai di kawasan letak kereta sekolah berkenaan untuk menjemput anaknya yang menghadiri kelas tambahan, beliau terdengar bunyi tangisan dan seterusnya menemui bayi tersebut di dalam bakul bayi yang telah diletakkan di atas sebuah meja di kawasan berhampiran dengan letak kereta sekolah tersebut. Sejurus itu, pihak sekolah segera menghubungi pihak polis melalui talian kecemasan 993 untuk melaporkan penemuan berkenaan.

Bayi berkenaan telah dibawa oleh pasukan paramedik ke Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Tutong untuk pemeriksaan kesihatan. Bayi kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan telah dipindahkan ke wad (SCBU), Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) bagi rawatan lanjut.

PPDB sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung insiden ini dan menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau menyaksikan kejadian tersebut agar tampil membantu siasatan dengan menghubungi Unit Siasatan Jenayah Penderaan Wanita dan Kanak-Kanak, Jabatan Siasatan Jenayah melalui talian kecemasan 993 atau di 2459500 samb. 490 / 333.

Sehubungan dengan itu, pihak polis memohon agar ibu, bapa atau penjaga yang mempunyai kaitan dengan bayi berkenaan tampil ke hadapan dengan segera bagi membantu siasatan dan pengurusan bayi dengan baik. 

Dalam masa yang sama, PPDB ingin menasihatkan orang ramai agar tidak mengambil tindakan yang melanggar undang-undang dan boleh membahayakan nyawa bayi, seperti membuang atau meninggalkan bayi tanpa pengawasan. Sekiranya terdapat individu yang tidak berkeupayaan untuk menjaga bayi mereka, mereka dinasihatkan untuk menyerahkan bayi tersebut kepada pihak berwajib atau agensi berkaitan yang boleh memberikan perlindungan dan penjagaan sewajarnya.

penemuan Bayi 1.jpg

penemuan Bayi 2.jpg

penemuan Bayi 3.jpg

Dikeluarkan Oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI




Attachments