BANGAR, Khamis, 9 Oktober 2025 – Operasi Pemantauan dan Pencegahan Jenayah yang dijalankan oleh Balai Polis Bangar, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah berjaya merampas sejumlah barang tegahan dalam dua kejadian berasingan yang berlaku sekitar jam 5 pagi pada 9 Oktober di kawasan Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien.
Dalam kejadian pertama, hasil daripada pemantauan rapi di kawasan Bangar, sepasukan anggota polis telah mengesan sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan. Kenderaan tersebut berjaya ditahan bersama dua orang suspek iaitu seorang lelaki dan seorang wanita warganegara tempatan berumur 24 dan 38 tahun. Pemeriksaan lanjut mendapati kenderaan berkenaan membawa barang-barang tegahan, iaitu sebanyak 300 botol minuman keras, 19 batang rokok serta seunit vape. Alat dan bahan yang disyaki digunakan untuk penyalahgunaan dadah turut dirampas.
Sementara itu, dalam kejadian kedua di lokasi yang sama, pihak polis telah menahan sebuah lagi kenderaan mencurigakan yang dipandu oleh seorang lelaki warganegara asing berumur 49 tahun dan hasil pemeriksaan menemukan beberapa kotak yang disahkan mengandungi berisi 132 botol dan 48 tin minuman keras serta 276 unit vape pelbagai jenama.
Kesemua suspek bersama barang rampasan daripada kedua-dua kejadian berkenaan telah diserahkan kepada pihak Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) serta Biro Kawalan Narkotik (BKN) untuk siasatan dan tindakan lanjut.
PPDB menegaskan komitmennya dalam memerangi sebarang bentuk aktiviti yang menyalahi undang-undang, serta akan terus mempertingkatkan rondaan dan pemantauan di kawasan sempadan bagi memastikan aktiviti jenayah dapat dibanteras secara berkesan demi menjamin keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI