Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

BEBERAPA KESALAHAN BERJAYA DIKESAN SEMASA OPERASI SEPADU DPBM

​BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 9 Oktober 2025 – Satu operasi bersepadu telah dijalankan melibatkan seramai 227 pegawai dan anggota daripada pelbagai jabatan dan agensi penguatkuasa yang diketuai oleh Daerah Polis Brunei Muara (DPBM) dan Unit Pemerdagangan Manusia, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) bersama agensi-agensi kerajaan lain iaitu Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), Biro Kawalan Narkotik (BKN), Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (JKDN), Jabatan Buruh, Jabatan Perkhidmatan Elektrik (JPE), Jabatan Bandaran dan Bahagian Penguatkuasa Ugama (BPU).

Sasaran operasi tertumpu kepada sekatan jalan raya serta pemeriksaan di beberapa lokasi bangunan di sekitar Bandar Seri Begawan. Hasil daripada operasi berkenaan telah mendapati perkara-perkara berikut:

• PPDB: Sebanyak lima kesalahan lalulintas kompaun (Polis 214) dan lima peringatan (Polis 190) telah dikeluarkan. Sebuah kenderaan turut didapati membawa pelbagai jenama rokok dan minuman keras dan telah diserahkan kepada pihak JKED untuk tindakan lanjut. Tiada kesalahan lain dikesan di bawah peruntukan undang-undang semasa pemeriksaan di beberapa bangunan yang diperiksa.

• BKN: Seorang lelaki tempatan telah ditahan selepas didapati positif dadah jenis syabu di bawah Seksyen 6(b) Akta Penyalahgunaan Dadah, Penggal 27. Suspek dibawa ke Ibu Pejabat BKN untuk siasatan lanjut.

• Jabatan Buruh: Seramai 27 orang pekerja warga asing didapati melakukan kesalahan di bawah Bab 86 Akta Buruh kerana menetap di tempat tinggal yang tidak diisytiharkan kepada Jabatan Buruh.

• BPU: Seorang wanita warganegara Malaysia beragama Islam telah didapati memiliki 9 botol dan 12 tin minuman mengandungi alkohol pelbagai jenis, dan diarahkan untuk siasatan lanjut di bawah Bab 104(4) Kanun Hukuman Syariah (Penggal 275).

• JKED: Tiga orang suspek telah melakukan kesalahan di bawah Bab 146 Perintah Eksais 2006 kerana memiliki rokok tanpa permit yang sah.

Operasi ini merupakan salah satu langkah proaktif dalam memperkukuhkan kerjasama antara agensi penguatkuasa serta memastikan undang-undang negara sentiasa dipatuhi. Ia juga bertujuan untuk mencegah, mengesan dan membanteras aktiviti jenayah, penyalahgunaan dadah, pemerdagangan manusia serta kesalahan imigresen dan buruh yang boleh menjejaskan ketenteraman dan keselamatan masyarakat.

OPSS BSB1.jpg

OPSS BSB4.jpg
OPSS BSB5.jpg

OPSS BSB2.jpg

​Dikeluarkan Oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI


Attachments