Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

OPERASI SEPADU DI KAWASAN PELANTAR MINYAK BERJAYA MENAHAN PENCEROBOH

BELAIT, 11 September 2025 (Khamis) - Rondaan dan Operasi Keselamatan dipertingkatkan di perairan Negara Brunei Darussalam, termasuk kawasan persisiran dan luar pantai, bagi memastikan keselamatan aset-aset negara yang amat berharga, terutamanya pelantar-pelantar minyak yang memainkan peranan penting dalam menyumbang hasil minyak dan memacu pertumbuhan ekonomi negara. 

Sehubungan dengan itu, satu operasi sepadu iaitu ‘Operasi Menangin’ telah dilaksanakan oleh agensi-agensi penguatkuasa yang terdiri daripada Polis Marin (POLMAR) Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) bersama Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (JKDN) dan Jabatan Perikanan. 

Operasi ini menumpukan perhatian pada kawasan zon keselamatan sekitar pelantarpelantar minyak negara ini. Semasa operasi tersebut, anggota pasukan operasi telah berjaya mengesan dan menahan sebuah perahu yang dinaiki oleh tiga individu warganegara tempatan. Hasil pemeriksaan mendapati mereka dipercayai sedang mencerobohi dalam zon keselamatan pelantar minyak yang di perairan Belait. Pemandu, penumpang, serta perahu tersebut kemudiannya dibawa ke Polis Marin di Pangkalan Marin Daerah Belait (PMDB) untuk tindakan lanjut. 

Kes ini disiasat di bawah seksyen 132(6) Peraturan Perkapalan Pedagang 2002 iaitu memasuki zon keselamatan Pelantar Minyak. Sabit kesalahan boleh di jatuhi hukuman denda tidak lebih 100 ribu ringgit atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali. 

Pasukan Polis Diraja Brunei ingin mengingatkan orang ramai untuk sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan di negara ini, bagi bersamasama menjaga keselamatan, keamanan, dan kesejahteraan negara. 

polmar sepadu 1.jpeg

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS 

IBU PEJABAT POLIS 

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI

Attachments