GADONG, Khamis, 11 September 2025 – Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran
Anak Puteri Hajah Masna binti Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul
Khairi Waddien, Komandan Polis Wanita Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB),
berkenan berangkat ke Majlis Keagamaan sempena Sambutan Hari Puja Usia Yang
Teramat Mulia.
Keberangkatan Yang Teramat Mulia ke Dewan Bankuet, Mes PPDB, dijunjung oleh
Penolong Pesuruhjaya Polis, Yang Mulia Hajah Masni binti Haji Jamil bersama
pegawai-pegawai Polis Wanita PPDB.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Yaasin, disusuli ceramah khas bertajuk
“Amanah dan Ibadah: Mencari Keberkatan Dalam Tugas Harian” yang disampaikan
oleh Yang Mulia Pengiran Norizzati Pengiran Haji Kasharan, Timbalan Pengarah,
Pusat Kajian Fiqh Kontemporari, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan
(KUPUSB). Doa Khas turut dibacakan sempena memperingati Hari Puja Usia Yang
Teramat Mulia.
Hadir sama seramai 200 anggota Polis Wanita, merangkumi pegawai dan anggota
berpangkat rendah dari pelbagai jabatan, formasi serta daerah polis di seluruh negara.
Ceramah khas yang disampaikan memberikan pencerahan bahawa tugas harian
bukan sekadar tanggungjawab profesional, tetapi juga satu bentuk ibadah yang
mendekatkan diri kepada Allah SWT. Dengan mencontohi Rasulullah SAW melalui
empat sifat agung Baginda — siddiq, amanah, tabligh dan fathonah — ia menekankan
kepentingan integriti, profesionalisme dan kebijaksanaan dalam melaksanakan
amanah.
Selain itu, para hadirin turut diajak untuk melihat pekerjaan sebagai jalan menuju
keredaan Ilahi melalui niat yang ikhlas, etika kerja yang bersih, serta amalan zikir yang
menyuburkan jiwa. Ceramah juga mengimbau kisah kesederhanaan Rasulullah SAW
sebagai pengajaran bahawa kekuatan sebenar seorang pemimpin bukan terletak
pada kuasa, tetapi pada hati yang tunduk kepada Tuhan.
Penganjuran majlis ini menjadi wadah untuk merafakkan kesyukuran serta doa ke
hadrat Allah Subhanahu Wata‘ala agar melimpahkan kurnia kesihatan, umur yang
panjang serta kesejahteraan kepada Yang Teramat Mulia Komandan Polis Wanita
dan seluruh Kerabat Diraja.
Majlis ini diharapkan menjadi inspirasi serta pembakar semangat kepada seluruh
warga Pasukan Polis Diraja Brunei untuk terus berkhidmat dengan penuh dedikasi,
sekali gus menjadi pemimpin yang dihormati dan dirahmati.



Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN
POLIS DIRAJA BRUNEI