Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

SIDANG MEDIA PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI KES-KES PENIPUAN DALAM TALIAN

​GADONG, Isnin, 8 September 2025 – Bagi mempertingkatkan kesedaran orang ramai dan mengukuhkan inisiatif pencegahan jenayah penipuan dalam talian di Negara Brunei Darussalam, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah mengadakan Sidang Media Khas di Dewan Auditorium Ibu Pejabat Polis, Jalan Tungku Link, Gadong.

Dalam kenyataannya, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Haji Mohammad Saifullah bin Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris, Timbalan Pesuruhjaya Polis, menegaskan bahawa peningkatan laporan kes penipuan dalam talian, khususnya ‘Macau Scam’, merupakan tren yang amat membimbangkan. Modus operandi penjenayah yang menyamar sebagai pegawai bank dan pegawai polis bukan sahaja telah memperdayakan mangsa, sekaligus mengakibatkan kerugian kewangan yang besar. Beliau turut berkongsi bahawa hasil siasatan terkini membawa kepada kejayaan menahan lima orang warga asing yang dipercayai terlibat dalam kegiatan tersebut.

Sementara itu, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Siber (BSJS), Snr. Supt Hendrie bin Haji Amin, turut menyampaikan taklimat mengenai pelbagai jenis jenayah penipuan dalam talian, statistik kes yang dilaporkan, serta langkah-langkah pencegahan. Beliau turut menekankan kepentingan penggunaan Talian Bantu 16993, yang baru sahaja dilancarkan pada 30 Ogos 2025, sebagai saluran utama bagi mendapatkan nasihat dan bantuan berkaitan jenayah siber.

Sidang media diakhiri dengan sesi soal jawab bersama pihak media yang dikendalikan oleh Timbalan Pesuruhjaya Polis, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, dan Ketua BSJS, bagi memberikan penjelasan lebih lanjut mengenai tren dan isu-isu berkaitan jenayah penipuan dalam talian.

PPDB berharap agar orang ramai akan lebih peka, berwaspada, dan tidak mudah terpedaya dengan taktik penipuan dalam talian. Kesedaran ini bukan sahaja dapat mengelakkan kerugian kewangan individu, malah turut menyumbang ke arah memperkukuhkan keselamatan dan kestabilan ekonomi negara.

ceramah jenayah siber 1.jpeg
ceramah jenayah siber 2.jpeg

ceramah jenayah siber 3.jpeg

Dikeluarkan oleh:

UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI


Attachments