Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

VIDEO ’DEEPFAKE’ ANGGOTA PPDB

BRUNEI-MUARA, Ahad 13 Julai 2025 – Bahagian Siasatan Jenayah Siber (BSJS), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), ingin memaklumkan kepada orang awam agar sentiasa berwaspada terhadap sebarang video ‘deepfake’ yang memaparkan pegawai atau anggota PPDB atau mana-mana individu dengan menggunakan teknologi Kecerdasan Buatan (AI), khususnya dalam bentuk video pendek, yang dimuat naik ke platform media sosial seperti TikTok, Facebook dan Instagram untuk tujuan penipuan.

Dalam modus operandi seperti ini, scammer akan menyiarkan video pendek menggunakan video dan audio yang telah dimanipulasi untuk menyerupai anggota polis, dengan tujuan memperdaya mangsa agar melabur dalam skim pelaburan palsu melalui pelbagai platform media sosial.

Kebelakangan ini, beberapa video dari akaun TikTok yang sama telah didapati menggunakan teknik ‘deepfake’ untuk menyamar sebagai pegawai polis, bagi menarik mangsa menyertai skim pelaburan penipuan yang dinamakan sebagai “nyata kemunculan wang ajaib”, dengan dakwaan skim tersebut telah berjaya membantu menyelesaikan pelbagai masalah kewangan.

BSJS menasihatkan orang awam agar tidak mudah terpedaya dengan video-video seperti ini atau apa-apa kandungan yang menjanjikan wang mudah atau keuntungan dalam jangka masa pendek. Scammer akan sentiasa mencari mangsa dengan menjanjikan cara cepat untuk memperoleh keuntungan besar. Namun, mangsa hanya akan menyedari telah ditipu selepas pemindahan wang ‘deposit pelaburan’ dilakukan tetapi keuntungan yang dijanjikan tidak pernah diterima.

BSJS juga ingin menegaskan bahawa sebarang skim pelaburan yang tidak diluluskan oleh Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) atau mana-mana bank tempatan adalah tidak sah dan berisiko tinggi. Orang awam disarankan untuk melaporkan sebarang aktiviti penipuan atau kandungan mencurigakan kepada balai polis yang terdekat atau hubungi 993, serta memaklumkan kepada pihak bank dengan segera sekiranya terdapat sebarang transaksi mencurigakan.


Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI


Attachments