BELAIT, Khamis 10 JULAI 2025 - Pada malam 10 Julai 2025, satu operasi sepadu sekatan
jalan raya (OPS NEST) telah dijalankan di dua lokasi strategik bertempat di Lebuhraya
Seria/Panaga (NEST 1) dan kawasan Pekan Seria (NEST 2).
Operasi tersebut melibatkan 105 anggota daripada Daerah Polis Belait dan Jabatan
Siasatan Kawalan Lalulintas (JSKLL) Batu 3, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB)
serta Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), Biro Kawalan Narkotik
(BKN), Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) dan Jabatan Pengangkutan Darat
(JPD).
Hasil pemeriksaan dijalankan, JSKLL telah mendapati beberapa kesalahan lalulintas
seperti memasang tabir gelap, lesen memandu mansuh atau memandu tanpa lesen,
kenderaan tidak di lindungi insuran, ubah suai kereta dan tidak menggunakan tali
pinggang keselamatan.
Sementara itu, pihak BKN mendapati 5 kesalahan berkaitan dadah termasuk memiliki
dan memakan dadah terlarang. Manakala JKED telah menahan 2 individu atas
kesalahan memiliki rokok seludup, minuman keras dan vape. JIPK telah memeriksa
seramai 317 individu dari pelbagai kewarganegaraan dan tiada kesalahan imigresen
dikesan. JPD telah mendapati 1 kesalahan cermin rosak.
PPDB ingin menasihatkan orang awam supaya sentiasa mematuhi undang-undang
jalan raya dan tidak mengubahsuai kenderaan tanpa kelulusan serta memastikan
lesen memandu dan insuran kenderaan sentiasa sah. Dengan adanya kerjasama
dengan agensi penguatkuasaan terlibat akan terus melaksanakan operasi sebegini
dari semasa ke semasa demi menjamin keselamatan dan kesejahteraan negara.


Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI