Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

BSJS MENAHAN 10 INDIVIDU DISYAKI KELDAI AKAUN

BRUNEI-MUARA, Khamis, 10 Julai 2025 – Bahagian Siasatan Jenayah Siber (BSJS) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah menahan 10 individu yang disyaki terlibat dalam aktiviti keldai duit iaitu membantu aktiviti penipuan dengan sengaja mendedahkan kata laluan atau kod akses akaun bank mereka untuk mendapatkan keuntungan kewangan.

”Keldai Akaun” atau ”Keldai Wang” biasanya merujuk kepada individu yang menyerahkan akaun bank mereka kepada penjenayah yang menggunakan akaun tersebut untuk menerima atau memindahkan wang yang berkaitan dengan aktiviti penipuan.
Hasil siasatan BSJS mendapati bahawa kebanyakan keldai akaun ini adalah penganggur dan mengambil peluang ini sebagai cara untuk menjana pendapatan, dengan memperoleh keuntungan kewangan antara $50 hingga $100 setiap minggu. Sesetengah suspek turut terlibat dalam membantu mendapatkan akses tanpa kebenaran kepada bahan komputer.

Suspek yang berumur antara 23 hingga 48 tahun disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Penyalahgunaan Komputer, Bab 194, kerana memberi akses akaun kepada orang lain untuk tujuan pemindahan wang hasil penipuan untuk mendapat keuntungan. Jika didapati bersalah, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 3 tahun atau denda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit, atau kedua-duanya sekali.

PPDB menasihatkan orang ramai agar lebih berwaspada dan mengelakkan diri daripada menjadi bersubahat dalam jenayah seperti ini, antaranya dengan tidak mendedahkan kod akses akaun bank atau talian telefon mereka serta tidak membenarkan akaun bank mereka digunakan untuk menerima dan memindahkan wang bagi pihak orang lain. Pihak polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap individu yang terlibat dalam penipuan, dan pelaku akan diambil tindakan mengikut undang-undang.

PPDB komited untuk membanteras kes-kes penipuan dan menggalakkan orang ramai untuk menyebarkan kesedaran di kalangan ahli keluarga dan rakan-rakan bagi mencegah kejadian kes seumpama ini.

Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI


Attachments