BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 08 Julai 2025 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) melalui Daerah Polis Brunei Muara telah menjalankan Operasi Sepadu bersama dengan agensi-agensi penguatkuasa undang-undang Negara Brunei Darussalam.
Operasi bermula sekitar jam 11 malam dan diketuai oleh Pemangku Pegawai Pemerintah Daerah Polis Brunei Muara, Supt. Haji Mohd Shaker bin Haji Nayan bersama dengan 171 pegawai dan anggota dari Daerah Polis Brunei Muara, Unit Siasatan Pemerdagangan Manusia (USPM), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), Biro Kawalan Narkotik (BKN), Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (JKDN), Jabatan Buruh, Jabatan Perkhidmatan Elektrik (JPKE) dan Jabatan Bandaran.
Operasi ini dijalankan sebagai sebahagian daripada inisiatif keselamatan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-79, bertujuan untuk mengesan serta mencegah sebarang kegiatan jenayah yang boleh menjejaskan kelancaran acara tersebut.
Dua buah lokasi telah menjadi sasaran operasi iaitu beberapa bangunan di Jalan Sultan Omar Ali Saifuddien dan Jalan Tasik, Bandar Seri Begawan. Hasil pemeriksaan dan tindakan oleh agensi-agensi yang terlibat adalah seperti berikut:
•Biro Kawalan Narkotik (BKN): Menahan 4 orang lelaki disyaki memakan dadah terkawal di bawah Seksyen 6(b) dan Seksyen 7 Akta Penyalahgunaan Dadah Penggal 27.
•Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED): Menahan empat individu (tiga lelaki dan seorang perempuan) atas kesalahan memiliki rokok tanpa kelulusan di bawah Seksyen 146(1)(d), Perintah Eksais 2006.
•Jabatan Buruh: Mengesan beberapa pelanggaran di bawah Akta Perintah Pekerjaan 2009 termasuk:
•Gagal memberikan cuti tahunan dan cuti sakit yang disahkan doktor;
•Pemotongan gaji tanpa kebenaran;
•Kegagalan mengisytiharkan tempat tinggal pekerja;
•Perumahan yang tidak bersih; dan
•Gagal menyediakan tiket pulang untuk pekerja ke negara asal.
Jabatan Perkhidmatan Elektrik (JPKE): Mengesan satu kesalahan di bawah Akta Elektrik, di mana satu unit kediaman didapati menyalurkan bekalan elektrik menggunakan sambungan mudah alih (extension wire) ke unit kediaman lain.
Jabatan Bandaran: Menemui seorang penghuni rumah sewa disyaki melakukan kesalahan di bawah Bab 12(1)(d) dan 12(1)(f)(ii), Akta Kesalahan-Kesalahan Rampaian, Penggal 30, dan sebuah kenderaan didapati terbiar dan disiasat di bawah Bab 12(1)(f)(i) akta yang sama.
PPDB bersama agensi-agensi penguatkuasa undang-undang akan terus melaksanakan operasi, risikan dan pemantauan secara berterusan bukan sahaja di Daerah Brunei Muara, malah di seluruh Negara Brunei Darussalam bagi membanteras jenayah serta menjamin keselamatan dan ketenteraman awam.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI