Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

WANITA TEMPATAN DITAHAN KERANA TERLIBAT DALAM KES PENIPUAN

​BRUNEI, Selasa, 8 Julai 2025 – Hari ini, Bahagian Siasatan Jenayah Siber (BSJS), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Pasukan Polis Diraja Br.unei (PPDB) telah menahan seorang wanita tempatan berumur 52 tahun, Lim Yok Yuan, kerana disyaki sebagai suspek dalam kes penipuan terhadap 11 mangsa dari tahun 2024 hingga 2025

Siasatan mendapati suspek menggunakan modus operandi dengan menghubungi kenalan melalui ’Whatsapp’ dan memperdaya mereka untuk melabur dalam pelbagai skim perniagaan palsu. Ini termasuk pelaburan restoran, pengimportan barang dari China, dan dalam beberapa kes, menyamar sebagai ejen pengambilan pekerja domestik. Mangsa telah diminta untuk membuat bayaran melalui pindahan bank atau serahan tunai. Namun, kesemua urusan perniagaan tersebut tidak pernah wujud.

Suspek disiasat di bawah Seksyen 420, Kanun Hukuman Jenayah, Bab 22, atas kesalahan menipu dan secara tidak jujur mendorong penyerahan harta. Kesalahan ini boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun dan dikenakan denda.

BSJS menjalankan siasatan lanjut ke atas semua 11 kes yang dilaporkan, dengan jumlah kerugian dianggarkan sekitar BND133,000. Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada terhadap sebarang bentuk penipuan dan tidak menyerahkan wang atau membuat pindahan kepada individu yang meragukan atau tidak dikenali.

PPDB komited dalam membanteras jenayah penipuan dan menyeru orang ramai untuk berkongsi kesedaran ini bersama keluarga dan rakan-rakan bagi mengelakkan lebih ramai menjadi mangsa.

SCAMMER  WANITA 2.jpeg


Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI


Attachments