GADONG, Isnin, 19 Mei 2025 – Unit Siasatan Penumpasan Perjudian dan
Pencegahan Maksiat (USPPPM), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Pasukan Polis
Diraja Brunei (PPDB) telah berjaya menumpaskan satu aktiviti tidak bermoral menerusi
serbuan yang dijalankan di sebuah bilik sewa di kawasan Mukim Gadong.
Serbuan tersebut menyasarkan kegiatan haram yang dipercayai melibatkan tawaran
perkhidmatan seks secara dalam talian. Hasil pemeriksaan ke atas bilik-bilik yang
disyaki, pihak polis telah menahan tiga orang wanita tempatan berumur antara 27
hingga 37 tahun yang dipercayai terlibat dalam kegiatan tersebut.
Turut dirampas sebagai bahan bukti ialah sejumlah wang tunai, beberapa keping
kondom dan beberapa unit telefon bimbit.
Kesemua suspek dan barangan rampasan telah dibawa ke Jabatan Siasatan Jenayah
untuk siasatan lanjut. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 294A Kanun Hukuman
Jenayah, Penggal 22, atas kesalahan menawarkan khidmat seks.
Pasukan Polis Diraja Brunei menegaskan komitmen berterusan dalam melaksanakan
pemantauan, risikan, dan penguatkuasaan undang-undang bagi membanteras
sebarang kegiatan jenayah di negara ini. Orang ramai disarankan untuk menyalurkan
sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah dengan menghubungi Talian
Kecemasan 993 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI