Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

POLMAR MENAHAN BOT MEMBAWA BARANG TEGAHAN

BRUNEI-MUARA, Sabtu, 17 Mei 2025 – Polis Marin (PolMar), Jabatan Gerakan, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), telah berjaya mematahkan satu cubaan membawa masuk barang tidak diisytiharkan melalui perairan negara. 

Dalam kejadian yang berlaku pada petang tadi, sebuah bot peronda Polis Marin telah menjalankan rondaan rutin sebelum mengesan empat buah perahu mencurigakan memasuki perairan negara dari arah Sungai Kupang. Tindakan pengejaran segera telah dilaksanakan, dan salah sebuah perahu berjaya dipintas selepas berlaku aksi kejar-mengejar. Suspek kemudiannya bertindak melompat ke laut dan melarikan diri ke kawasan hutan bakau berhampiran. 

Hasil pemeriksaan awal ke atas perahu terbabit menemukan beberapa kotak hitam yang diselubungi dengan pukat ikan. Pemeriksaan lanjut mengesahkan bahawa perahu tersebut membawa barangan tidak diisytiharkan, termasuk: 

• Hati Buyah mentah – 15 kotak besar 

• Tongkeng Ayam mentah – 96 bungkus 

• Rokok – 500 karton 

Kes ini kini disiasat di bawah Seksyen 146(1)(d) Perintah Eksais 2006. Semua barang rampasan termasuk perahu telah diserahkan kepada Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) untuk siasatan dan tindakan lanjut. 

Pasukan Polis Diraja Brunei menegaskan komitmennya dalam memperkukuhkan kawalan keselamatan negara, khususnya di kawasan sempadan perairan, bagi membanteras sebarang aktiviti jenayah rentas sempadan. 

PPDB juga menyeru orang ramai agar tidak terlibat dalam sebarang kegiatan yang menyalahi undang-undang dan sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa. Sebarang maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan atau pelanggaran undangundang boleh disalurkan melalui talian kecemasan 993 atau di mana-mana Balai Polis berhampiran. 


Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS 

IBU PEJABAT POLIS 

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI

Attachments