Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

PPDB JALANKAN OPERASI SEPADU BERSAMA JKED BP TUTONG

TUTONG, Khamis, 17 Mei 2025 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) bersama Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) telah menjalankan satu operasi bersepadu hasil daripada maklumat risikan serta aduan orang awam berkaitan aktiviti penjualan rokok dan minuman keras secara haram. 

Operasi tersebut dilancarkan susulan maklumat risikan yang diperolehi, di mana sebuah rumah di kawasan Kampung Sengkarai dikenal pasti sebagai lokasi dipercayai terlibat dalam aktiviti penyimpanan dan penjualan barang-barang tegahan. Bertindak atas maklumat tersebut, pasukan operasi telah menjalankan serbuan ke atas premis berkenaan. 

Hasil serbuan membawa kepada penemuan 51 karton rokok seludup serta 1 botol minuman keras, yang ditemui disembunyikan dalam kawasan reban ayam di dalam premis tersebut. Selain itu, pasukan turut menahan dua orang suspek, iaitu lelaki warga asing berumur 43 dan 45 tahun, bagi membantu siasatan. 

Turut dirampas ialah sejumlah wang tunai dalam mata wang Brunei, Malaysia dan Indonesia, yang dipercayai hasil daripada penjualan rokok seludup tersebut. Keduadua suspek bersama barang rampasan telah diserahkan kepada pihak JKED untuk siasatan lanjut dan tindakan sewajarnya mengikut undang-undang yang berkuat kuasa di Negara Brunei Darussalam. 

Pihak PPDB juga menyeru kepada masyarakat agar terus bekerjasama dengan pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat berkenaan aktiviti jenayah atau mencurigakan. Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang negara. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS 

IBU PEJABAT POLIS 

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI

Attachments