Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

OPERASI-OPERASI BALAI POLIS TEMBURONG MERAMPAS BARANG-BARANG DITEGAH.

TEMBURONG, Sabtu 3 Disember 2025 – Dalam minggu-minggu kebelakangan ini, Balai Polis Bangar, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah berjaya mematahkan tiga (3) percubaan penyeludupan barang tegahan ke dalam negara menerusi beberapa operasi pencegahan dan pemantauan jenayah yang dijalankan secara berterusan. 

Operasi-operasi berkenaan telah membawa kepada rampasan sejumlah 300 karton rokok, 204 botol minuman keras, serta 10 kg sayap ayam beku, yang dipercayai telah diseludup. Rampasan ini adalah hasil daripada rondaan rutin dan tindakan berdasarkan maklumat risikan di kawasan Daerah Temburong, yang dikenalpasti sebagai antara lokasi berisiko tinggi. 

Dalam ketiga-tiga kes tersebut, beberapa buah kenderaan telah berjaya dikesan dan ditahan. Walau bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan bagi menjejaki individu-individu yang bertanggungjawab, termasuk pemandu yang melarikan diri dan meninggalkan kenderaan bersama barang tegahan. Kenderaan-kenderaan terlibat beserta barang rampasan telah diserahkan kepada Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) untuk tindakan lanjut mengikut undang-undang yang berkuat kuasa. 

PPDB ingin mengingatkan orang ramai bahawa penglibatan dalam sebarang aktiviti penyeludupan atau pemilikan barang tegahan adalah satu kesalahan serius yang boleh dikenakan hukuman berat. Tindakan sedemikian bukan sahaja menyalahi undang-undang, tetapi turut mendatangkan kesan buruk terhadap kesejahteraan diri dan keluarga. 

PPDB akan terus komited dalam usaha membanteras dan menghalang kegiatan penyeludupan di seluruh negara, dan menyeru kepada masyarakat untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan kepada balai polis berdekatan atau melalui talian kecemasan 993. 


Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS 

IBU PEJABAT POLIS 

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI

Attachments