BRUNEI-MUARA Khamis, 3 April 2025 - Polis Marin (POLMAR), Jabatan Gerakan,
Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah menggagalkan satu percubaan untuk
membawa masuk barang yang tidak diisytiharkan melalui perairan negara ini.
Dalam kejadian pada sebelah petang, sebuah perahu yang mencurigakan telah
dikesan oleh peronda POLMAR bergerak menyusuri persisiran Tanjung Kindana sarat
dengan muatan pukat menuju ke kawasan perairan Kampong Sungai Bunga. Peronda
POLMAR kemudiannya mengambil tindakan untuk memintas bagi tujuan
pemeriksaan.
Menyedari akan kehadiran agensi penguatkuasa, dua orang suspek kemudiannya
memberhentikan perahu lalu bertindak terjun ke dalam air dan melarikan diri ke
kawasan hutan bakau berhampiran. Usaha untuk mengesan suspek-suspek tersebut
telah digerakkan dan turut dibantu oleh Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB).
Pemeriksaan dan siasatan awal ke atas perahu didapati beberapa kotak hitam yang
ditutupi dengan pukat ikan. Hasil siasatan lanjut mengesahkan bahawa perahu
tersebut membawa barangan tegahan iaitu 1250 karton rokok pelbagai jenama.
Kes ini disiasat di bawah seksyen 146(1)(d) Perintah Eksais 2006. Kesemua barang
rampasan termasuk perahu telah diserahkan kepada Jabatan Kastam dan Eksais
Diraja untuk tindakan dan siasatan lanjut.
Pasukan keselamatan akan terus mempergiatkan lagi rondaan dan pemantauan bagi
memastikan perairan negara ini bebas dari sebarang kegiatan jenayah. PPDB juga
menyeru kepada orang ramai agar melaporkan sebarang kegiatan yang
mencurigakan atau menyalahi undang-undang, khususnya dikawasan perairan, demi
memastikan keamanan dan keselamatan Negara Brunei Darussalam.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI