GADONG, Jumaat 21 Mac 2025 – Bahagian Siasatan Jenayah Siber (BSJS), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ),
Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah berjaya menangkap seorang lelaki warga asing yang
dipercayai terlibat dalam sindiket jenayah penyamaran pegawai bank dan polis, yang lebih dikenali
sebagai Macau Scam. Tangkapan suspek pada 12 Mac 2025 ini merupakan satu kemajuan penting
dalam membongkar rangkaian penipuan yang telah beroperasi antara bulan November 2024 hingga
Mac 2025.
Sindiket ini menggunakan modus operandi di mana mangsa dihubungi melalui telefon oleh individu
yang menyamar sebagai pegawai bank, mendakwa mangsa mempunyai tunggakan kad kredit atau
memiliki kad kredit yang bukan kepunyaan mereka. Panggilan kemudiannya akan "dipindahkan"
kepada ahli sindiket lain yang menyamar sebagai "pegawai polis", yang mendakwa mangsa telah
disenaraikan sebagai suspek kerana akaun bank mereka kononnya terlibat dalam aktiviti jenayah. Ahli
sindiket seterusnya akan meminta maklumat peribadi mangsa dan mengarahkan mereka untuk
memindahkan atau mengeluarkan wang atas alasan keselamatan.
Siasatan BSJS mendapati bahawa sindiket yang melibatkan suspek yang ditangkap telah terlibat dalam
38 kes jenayah penipuan, mengakibatkan kerugian melebihi $240,000. Selain itu, BSJS juga telah
mengenal pasti 42 nombor talian tempatan yang dipercayai digunakan oleh sindiket, serta perkakas
dan beberapa kediaman yang dimanfaatkan untuk aktiviti jenayah ini. Sebahagian daripada wang hasil
daripada penipuan tersebut juga berjaya dikenal pasti.
Suspek akan dihadapkan ke mahkamah mengikut Seksyen 420 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22,
iaitu Menipu dan secara tidak jujur mendorong supaya harta diserahkan, yang boleh dihukum penjara
tidak melebihi 7 tahun dan denda.
BSJS sedang giat menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti mangsa yang belum membuat
laporan dan ahli-ahli sindiket lain yang terlibat. Pasukan Polis mengingatkan orang ramai agar
berwaspada dan tidak mudah terpedaya oleh skim penyewaan atau pendaftaran akaun bank atau SIM
kad untuk orang yang tidak dikenali.
Mereka yang ditangkap kerana menyewakan atau mendaftarkan akaun bank atau SIM kad, atau
terlibat dalam aktiviti penipuan ini, akan dihadapkan ke mahkamah atas pelbagai kesalahan. Ini
termasuk Seksyen 109 Persubahatan, Seksyen 120B Konspirasi Jenayah, Seksyen 414 Membantu
dalam penyembunyian atau pelupusan harta curi, Seksyen 419/420 Penipuan di bawah Kanun
Hukuman Jenayah Penggal 22, dan Seksyen 3 Pengubahan Wang Haram di bawah Perintah Pemulihan
Aset Jenayah (CARO), 2012.
Untuk melindungi diri daripada Macau Scam, orang ramai dinasihatkan untuk kekal tenang dan tidak
panik apabila menerima panggilan mencurigakan. Adalah penting untuk sentiasa mengesahkan
maklumat dengan menghubungi bank atau polis melalui nombor rasmi yang berdaftar dan tidak
menggunakan aplikasi media sosial untuk tujuan ini. Orang ramai juga diingatkan untuk mengelakkan
pemindahan wang atau penyerahan wang tunai kepada pihak yang tidak dikenali. Langkah-langkah
berjaga-jaga ini dapat membantu mengurangkan risiko menjadi mangsa penipuan Macau Scam.
PPDB komited dalam usaha membanteras penipuan ini dan menggesa orang ramai untuk sama-sama
menyampaikan maklumat ini kepada ahli keluarga dan rakan-rakan. Kesedaran dan kewaspadaan
bersama adalah kunci untuk mencegah jenayah sebegini daripada terus berleluasa.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI