Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

MAJLIS CERAMAH AGAMA PPDB SEMPENA NUZUL ALQURAN

GADONG, Khamis 20 Mac 2025 – Bagi memperingati peristiwa agung Nuzul Al-Quran iaitu peristiwa turunnya Ayat Al-Quran yang pertama sebagai wahyu Allah Subhanahu Wata'ala kepada Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) melalui kelolaan Badan Ugama Islam (BUI) PPDB telah mengadakan Majlis Ceramah Agama Sempena Nuzul Al-Quran bagi tahun 1446H/2025M bertempat di Surau Polis Gadong. 

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Pesuruhjaya Polis PPDB, Yang Mulia DCP Dato Seri Pahlawan Sulaiman bin Alidin. 

Turut hadir ialah Yang Amat Mulia SAC Pengiran Anak Haji Mohammad Saifullah bin Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris, Pemangku Timbalan Pesuruhjaya Polis, serta Pengarah-Pengarah dan Timbalan Pengarah Jabatan, pegawai-pegawai kanan, para pegawai, dan anggota pangkat rendah PPDB. 

Majlis dimulakan dengan sembahyang Fardhu Zohor berjemaah dan diikuti dengan Majlis Ceramah bertajuk “Persitiwa Nuzul Al-Quran“ yang disampaikan oleh Yang Mulia Haji Mohd Syahiran Bin Haji Mohd Sofian, Pengarah Pusat Ilmu Teras, Kolej Universiti Perguruan Ugama, Bandar Seri Begawan, Kementerian Hal Ehwal Ugama. 

Antara intipati ceramah tersebut telah menekankan bahawa Nuzul Al-Quran bukan sekadar peristiwa bersejarah, tetapi sebagai panduan hidup yang perlu difahami dan diamalkan. Al-Quran memberi pengajaran serta penyelesaian kepada pelbagai masalah, selain mendatangkan nikmat dan keberkatan. Membacanya bukan sahaja memberi ganjaran besar, malah boleh membawa rezeki yang tidak disangka-sangka, seperti kehidupan yang mencukupi walaupun dalam serba kekurangan. Oleh itu, umat Islam digalakkan untuk terus mendalami dan mengamalkan ajarannya dalam kehidupan seharian. 

Majlis kemudian diakhiri dengan penyampaian cenderahati kepada penceramah undangan dan bacaan doa selamat oleh Yang Mulia APO Staff Sgt 6472 Mohd Yusri bin Haji Abu Bakar Imam Surau Polis Gadong Imam Surau Polis Gadong, PPDB. 


Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS 

IBU PEJABAT POLIS 

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI 

Attachments