Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

SATU OPERASI SEPADU BERSAMA JABATAN KASTAM DAN EKSAIS DIRAJA DAN BALAI POLIS TUTONG

TUTONG, Khamis, 13 Mac  2025 – Balai Polis Tutong, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dengan kerjasama Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) telah melaksanakan Operasi Sepadu bagi membanteras kegiatan penyeludupan barangan larangan di daerah ini. 

Operasi ini dijalankan susulan maklumat perisikan yang diperoleh, di mana sebuah kediaman di Kampung Sengkarai, Tutong telah dikenal pasti sebagai lokasi aktiviti penjualan barang tegahan. Bertindak atas maklumat tersebut, pasukan operasi telah melancarkan serbuan yang membawa kepada penemuan 49 karton rokok seludup yang disembunyikan di dalam kotak besar di premis berkenaan. 

Dalam serbuan tersebut, pihak berkuasa turut menahan seorang suspek, lelaki warga tempatan berusia 25 tahun bersama wang dipercayai hasil jualan rokok-rokok tegahan, bagi membantu siasatan lanjut. Suspek bersama barangan rampasan telah diserahkan kepada pihak JKED untuk tindakan selanjutnya mengikut undang-undang yang berkuat kuasa. 

PPDB menegaskan bahawa usaha membanteras penyeludupan dan aktiviti jenayah lain akan terus dipertingkatkan secara berterusan melalui operasi bersepadu dan pemantauan rapi di seluruh negara. Pihak berkuasa juga menyeru kerjasama orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan mencurigakan agar tindakan segera dapat diambil demi memastikan keselamatan, kestabilan, dan kesejahteraan masyarakat terus terpelihara. 

Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS 

IBU PEJABAT POLIS 

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI

Attachments