Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

RONDAAN BALAI POLIS TEMBURONG MENEMUI KENDERAAN MEMBAWA BARANG-BARANG DITEGAH

TEMBURONG, Jumaat 7 Mac 2025 – Balai Polis Bangar, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah berjaya menahan sebuah kereta yang membawa barang-barang tegahan di jambatan Sultan Haji Omar Ali Saifuddin (SHOAS), 0.5km dari Bandar Seri Begawan.

Semasa membuat rondaan pencegahan dan pemantauan jenayah pada waktu tengahari mendapati sebuah kereta mencurigakan dan disyaki membawa barang yang ditegah. Peronda Balai telah menahan kereta tersebut ketika dalam perjalanan menuju ke Bandar Seri Begawan. 

Hasil pemeriksaan mendapati kenderaan tersebut membawa dalam 80 kilogram ayam mentah serta satu paket rokok yang dipercayai diseludup. Pemandu dan dua penumpang kenderaan tersebut, kesemuanya warga tempatan berusia antara 17 hingga 34 tahun dan tidak mempunyai pekerjaan, telah ditahan untuk siasatan lanjut. Kenderaan tersebut turut dibawa ke Balai Polis Bangar sebelum semua barang rampasan dan suspek diserahkan kepada Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) untuk tindakan selanjutnya. 

PPDB ingin menegaskan bahawa pihaknya akan terus mempertingkatkan kawalan serta operasi bagi membanteras sebarang aktiviti penyeludupan dan pelanggaran undang-undang negara. Orang ramai dinasihatkan agar tidak terlibat dalam sebarang aktiviti jenayah yang boleh membawa kerugian kepada diri sendiri dan keluarga. 

Sebarang maklumat berkaitan kegiatan mencurigakan boleh disalurkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan sewajarnya. 


Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS 

IBU PEJABAT POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI

Attachments