GADONG, Khamis, 13 Februari 2025 – Seramai 86 pelatih Rekrut Polis Konstabel
Lelaki dan Wanita Skuad 1/2023 yang menjalani latihan asas kepolisan selama 8
bulan dan 13 hari, berakhir dengan Upacara Perbarisan Tamat Latihan yang
berlangsung di Padang Kawad Besar Pusat Latihan Polis, Pasukan Polis Diraja Brunei
(PPDB) pada pagi 13 Februari 2025.
Hadir selaku tetamu kehormat, Yang Mulia Awang Zulhusam Haji Abdul Samad,
Pemangku Setiausaha Tetap Sekuriti dan Undang-Undang, di Jabatan Perdana
Menteri.
Turut hadir, Yang Mulia DCP Dato Seri Pahlawan Awang Sulaiman bin Alidin,
Pemangku Pesuruhjaya Polis, Yang Amat Mulia SAC Pengiran Anak Haji Mohammad
Saifullah Bin Pengiran Indera Setia DiRaja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris,
Pemangku Timbalan Pesuruhjaya Polis, para pengarah dan timbalan pengarah,
ketua-ketua formasi, pegawai-pegawai pemerintah daerah polis, pegawai-pegawai
kanan serta ahli-ahli keluarga para pelatih rekrut yang diraikan.
Majlis dimulakan dengan pemeriksaan barisan oleh Tetamu Kehormat dan disusuli
dengan ucapan dari Tetamu Kehormat. Seterusnya Tetamu Kehormat di jemput oleh
Komandan Pusat Latihan Polis Penguasa Kanan Polis Haji Mohamad Noor Bin Haji
Abdul Rahman, untuk menyampaikan hadiah kepada Pelatih Rekrut Terbaik Latihan
Luar kepada 7113 Mohammad Iqbal Bin Noor dan 7154 Aine Shahirah Binti Zaini
sebagai Pelatih Terbaik Dalam Akademik.
Bagi memberkati majlis, doa selamat dibacakan oleh Imam Surau Ibu Pejabat Polis
Gadong, L/Kpl 6569 Muhammad Zulhairi bin Omarali.
Kemuncak majlis tersebut diteruskan dengan perbarisan berjalan lalu dalam masa
perlahan dan cepat serta mara ke hadapan untuk diperhati semula.
Selesai perbarisan, aturcara seterusnya di Dewan Serbaguna Pusat Latihan Polis
yang mana tetamu kehormat turut diperkenalkan kepada pelatih-pelatih rekrut yang
berjaya menamatkan latihan serta bergambar ramai bersama para bekas rekrut yang
diraikan.
Seluruh warga PPDB mengucapkan tahniah dan selamat datang kepada anggota
baharu. Semoga mereka menjalankan tugas dengan penuh amanah, dedikasi, dan
kesetiaan kepada raja, agama, dan negara.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI