Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

POLMAR GAGALKAN CUBAAN SELUDUP BARANG LARANGAN MELALUI PERAIRAN NEGARA

TEMBURONG, Isnin, 10hb Februari 2025 - Polis Marin (POLMAR), Jabatan Gerakan, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) berjaya menggagalkan satu percubaan membawa masuk barang larangan yang tidak diisytiharkan melalui perairan negara. 

Dalam kejadian yang berlaku sekitar tengah hari, sebuah bot peronda Polis Marin telah mengesan sebuah perahu yang bergerak laju, dipercayai datang dari negara jiran menuju ke Sungai Brunei. Bertindak atas kecurigaan, pihak polis segera mengejar perahu tersebut. 

Menyedari kehadiran bot penguatkuasa, suspek bertindak melarikan diri ke kawasan hutan bakau dan meninggalkan perahu yang digunakannya. 

Hasil pemeriksaan awal ke atas perahu yang ditinggalkan, anggota Polis Marin menemukan beberapa kotak berisi barang larangan, termasuk rokok seludup dan minuman keras. Siasatan lanjut mendapati sejumlah 500 karton rokok dan 36 botol minuman keras disembunyikan di dalam perahu tersebut. 

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 146(1)(d) Perintah Eksais 2006. Semua barang rampasan, termasuk perahu, telah diserahkan kepada Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) untuk tindakan dan siasatan lanjut. 

POLMAR akan terus meningkatkan rondaan serta operasi bagi membanteras sebarang aktiviti jenayah yang menggunakan perairan negara. Orang ramai diseru untuk memberikan kerjasama dan melaporkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan yang menyalahi undang-undang bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman perairan Brunei Darussalam terus terpelihara. 


Dikeluarkan Oleh : 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS 

IBU PEJABAT POLIS 

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI 

Attachments