Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

MAJLIS PENUTUP DAN PENYAMPAIAN SIJIL KURSUS ASAS KEBERKESANAN PK KUALA BELAIT

SERIA, Khamis 30 Januari 2025 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah mengadakan Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil bagi Kursus Asas Keberkesanan Pengawasan Kejiranan (PK) sesi 3/2025 yang telah diadakan selama dua (2) hari di Dewan Pejabat Daerah Seria.

Seramai 32 orang peserta telah menyertai kursus bekenaan dan mereka terdiri daripada kakitangan kerajaan termasuk Penghulu & Ketua kampung, kakitangan swasta dan orang awam yang merupakan ahli-ahli yang berdaftar di bawah program PK di bawah tadahan Daerah Polis Kuala Belait. 

Majlis penutup ini telah disempurnakan oleh Pemangku Penolong Pegawai Pemerintah Daerah Polis Kuala Belait, Yang Mulia Timbalan Penguasa Polis Hajah Nur Haidah binti Haji Abdul Halim, yang turut menyampaikan sijil penyertaan kepada para peserta. Turut hadir ialah pegawai serta anggota daripada Daerah Polis Kuala Belait, manakala Unit Perhubungan Awam PPDB selaku Urusetia Pengawasan Kejiranan PPDB dan penyelaras kursus. 

Sepanjang kursus, para peserta telah diberikan taklimat dan penerangan oleh pegawai dari pelbagai jabatan di bawah PPDB serta beberapa agensi penguatkuasaan, termasuk Jabatan Peguam Negara, Jabatan Syariah, Biro Kawalan Narkotik, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja Dan Bahagian Keselamatan dan Kesejahteraan, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri. 

Kursus ini bertujuan untuk mempertingkatkan pengetahuan dan pemahaman peserta mengenai aspek penguatkuasaan undang-undang, selaras dengan peranan mereka sebagai ahli Pengawasan Kejiranan. Selain itu, ia juga bertindak sebagai platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara PPDB dan masyarakat.

Kursus ini diharapkan akan menjadi pemangkin kepada pencapaian matlamat Pengawasan Kejiranan, iaitu memperkukuh kerjasama antara masyarakat dan PPDB dalam usaha mengesan serta mencegah jenayah di negara ini. 

Dikeluarkan Oleh: 

UNIT PERHUBUNGAN AWAM 

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS 

IBU PEJABAT POLIS 

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI

Attachments