DAERAH TUTONG, Jumaat 24 Januari 2025 – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah menyampaikan taklimat bertajuk "Penipuan Dalam Talian dan Jenayah Siber" dalam satu sesi yang dianjurkan oleh Majlis Perundingan Mukim Telisai bersama Sekolah Rendah Tumpuan Telisai Kluster 5. Sesi tersebut diadakan di Sekolah Rendah Tumpuan Telisai, Daerah Tutong dan hadir selaku tetamu kehormat ialah Yang Berhormat Awang Abd Aziz bin Haji Hamdan, Ahli Majlis Mesyuarat Negara merangkap Ketua Kampung Sengkarai Tutong. Taklimat telah dihadiri oleh 88 peserta, termasuk Penghulu dan Ketua-Ketua Kampung Mukim Telisai, guru-guru, ahli jawatankuasa MPM Telisai, Ahli Pengawan Kejiranan (PK) Mukim Telisai, serta penduduk Warga Emas Mukim Telisai.
Taklimat disampaikan oleh Ketua Inspektor Adinin bin Haji Ahmad, Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Siber (BSJS), Jabatan Siasatan Jenayah, PPDB.
Majlis ini adalah satu lagi inisiatif penting dalam meningkatkan kesedaran awam mengenai jenayah siber, selaras dengan komitmen Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) untuk memerangi jenayah dan melindungi masyarakat melalui pendedahan serta pengetahuan langkah-langkah pencegahan.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI