GADONG, Sabtu 18 Januari 2025 – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, berkenan berangkat ke Majlis Santap Beradat Sempena Upacara Istiadat Penganugerahan Bendera Panji-Panji Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Bankuet Mes, Kompleks Ibu Pejabat Polis Gadong.
Berangkat sama, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna binti Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Komandan Polis Wanita.
Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dijunjung oleh Pemangku Pesuruhjaya Polis, DCP Dato Seri Pahlawan Sulaiman bin Alidin bersama Pemangku Timbalan Pesuruhjaya Polis, Yang Amat Mulia SAC Pengiran Anak Haji Mohammad Saifullah bin Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris.
Turut hadir ke majlis ini adalah Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof, Menteri di Jabatan Perdana dan Yang Mulia Dato Seri Setia Dr Awang Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Il bersama Timbalan-timbalan Menteri, pengarah-pengarah, pegawai-pegawai kanan dan pegawai-pegawai PPDB.
Sejurus berangkat tiba, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dijunjung untuk menandatangani Lembaran Kenangan Keberangkatan di Ruang Legar Dewan Bankuet dan seterusnya beramah mesra bersama pegawai-pegawai Penolong Penguasa Polis Squad 1/2024 dan Pegawai Peralihan Inspektor seramai 15 orang.
Semasa keberangkatan masuk ke Dewan Bankuet Mes, Lagu kebangsaan dimainkan dan kemudiannya Panji-Panji Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bersama Panji-Panji PPDB diarak masuk ke dalam Dewan Bankuet dengan iringan muzik serunai dan tambur.
Sebelum Majlis dimulakan, bacaan doa selamat dibacakan oleh Pengerusi Badan Ugama Islam (BUI) PPDB, Timbalan Penguasa Polis Aimi Safwan bin Zalidin. Majlis Santap Beradat diserikan dengan iringan muzik yang dimainkan oleh Pancaragam PPDB.
Selesai Majlis Santap, Panji-Panji Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bersama Panji-Panji PPDB diarak keluar Dewan Bankuet dan lagu kebangsaan sekali lagi dimainkan. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berjunjung ziarah bersama Pancaragam Polis dan Ahli Jawatankuasa Mes Pegawai PPDB sebelum berangkat meninggalkan Dewan Mes Bankuet.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI