BRUNEI MUARA, Rabu 19 November 2024 – Pada hari ini, Pasukan Polis Diraja Brunei
(PPDB) telah mengadakan Taklimat Bahan Bukti ’Trace Evidence’ yang disampaikan
oleh pegawai-pegawai dari Jabatan Perkhidmatan Saintifik (DSS), Kementerian
Kesihatan.
Taklimat tersebut telah diadakan di Auditorium Bangunan Ibu Pejabat Polis Gadong
dan dihadiri oleh Pegawai dan Anggota Penyiasat dari Jabatan Siasatan Jenayah dan
Daerah-Daerah Polis.
Pembentangan tersebut disampaikan oleh 2 orang pegawai DSS, iaitu Hj Abdul Wafi
Zulfadli Hj Awang dan Khairul Hazim Hj Awg Salleh. Antara tajuk-tajuk yang
dibentangkan merangkumi penganalisaan forensic bahan-bahan halus seperti serat,
rambut, kaca, tanah, atau bahan lain yang boleh menjadi petunjuk penting dalam
siasatan jenayah. Dalam pembentangan tersebut, para pakar dari DSS telah
berkongsi teknik terkini dalam pengumpulan, analisis, dan penafsiran bukti jejak yang
boleh membantu mengenal pasti suspek atau menyokong bukti di mahkamah.
Pembentangan itu juga memberikan peluang kepada pihak PPDB untuk berdialog
dengan pakar DSS, berbincang tentang cabaran yang dihadapi, serta mengukuhkan
kemahiran dalam mengendalikan bahan bukti.
Pihak PPDB sentiasa berusaha meningkatkan kecekapan dan keberkesanan dalam
melaksanakan tugas-tugas yang diamanahkan. Pembentangan ini diharapkan dapat
memberikan pemahaman jelas tentang amalan dan prosedur semasa dalam
penganalisaan, pembungkusan dan prosedur penghantaran bahan bukti yang
berkesan, serta memperkukuhkan proses penyiasatan demi keadilan.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI