BRUNEI MUARA, Rabu 13 November 2024 – Unit Siasatan Pemerdagangan Manusia (USPM) dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah mengendalikan taklimat mengenai Jenayah Pemerdagangan orang khususnya kepada Pegawai-Pegawai Penyiasat Kes Jenayah di Balai-Balai Polis Daerah. Taklimat yang diadakan pada hari ini di Dewan Serbaguna Balai Polis Berakas, telah dihadiri oleh 81 orang pegawai dan anggota terdiri dari penyiasat-penyiasat dari balai-balai Daerah Polis Brunei-Muara.
Taklimat mengenai Jenayah Pemerdagangan orang ini diadakan selama empat (04) hari bermula pada 13hb, 14hb, 16hb dan 18hb November 2024 untuk disampaikan ke seluruh Daerah Polis. Tujuan utama adalah bagi mengetahui dan memahami secara lebih terperinci elemen-elemen dan petunjuk-petunjuk di dalam penyiasatan jenayah pemerdagangan orang kepada polis dibarisan hadapan (frontliner officers) khususnya bagi Pegawai-Pegawai Kes Jenayah. Antara perkara yang dibentangkan dalam taklimat yang diberikan adalah elemen-elemen pemerdagangan orang dan indikasi yang menjurus kepada siasatan jenayah pemerdagangan orang.
Taklimat mengandungi tentang Penyiasatan Jenayah Pemerdagangan Orang telah disampaikan oleh Timbalan Penguasa Polis Hajah Anis @ Roszaffina binti Haji Ahmad, Ketua USPM. Turut dibentangkan adalah memfokus kepada soalan-soalan tentang elemen dan petunjuk jenayah pemerdagangan orang bagi siasatan awal di Balai Polis seperti adakah mangsa direkrut tujuan secara buruh paksa atau diekploitasi secara seksual; disekat kebebasannya untuk berjalan atau berhubung dengan sesiapa; adakah mangsa dijadikan seperti perhambaan seks, dijual atau diperhambakan oleh sesiapa; adakah mangsa berumur di bawah 18 tahun dan terlibat didalam aktiviti pelacuran; adakah dokumen pengenalan mangsa dirampas; adakah keluarga mangsa diancam dengan kemudaratan jika mangsa melarikan diri.
Pembentangan ini menegaskan komitmen PPDB untuk meningkatkan keupayaan siasatan dalam memerangi pemerdagangan manusia. Dengan membekalkan penyiasat dengan teknik-teknik lanjutan, strategi kolaboratif, dan pemahaman yang mendalam mengenai kerumitan pemerdagangan manusia, pihak polis berhasrat untuk memperkukuhkan usaha melindungi individu yang terdedah dan membawa pelaku ke muka pengadilan. Inisiatif ini mengukuhkan dedikasi pasukan polis dalam menangani isu kritikal ini, memupuk kerjasama antara agensi, dan memastikan kesejahteraan masyarakat.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI