GADONG, Khamis 26 September 2024 – Sempena Sambutan Maulidur Rasul S.A.W bagi tahun ini, Badan Ugama Islam, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah mengendalikan Majlis Ceramah Maulidur Rasul Shallallahu 'Alaihi Wasallam, bertajuk “Kepimpinan Rasul SAW” yang telah disampaikan oleh Yang Mulia Ustaz Muhammad Nasyith bin Superi Pegawai Ugama Pusat Da’wah Islamiah, di Surau Ibu Pejabat Polis Gadong.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Yang Mulia Dato Paduka Seri Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali, Pesuruhjaya Polis PPDB.
Turut hadir, Yang Amat Mulia (SAC) Pengiran Anak Hj Mohd Saifullah bin Pg Anak Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pg Anak Hj Idris, Pemangku Timbalan Pesuruhjaya Polis PPDB, pengarah-pengarah, timbalan pengarah, pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai dan anggota serta kakitangan awam PPDB.
Majlis telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Imam Surau Polis Gadong, APO Staf Sarjan 6472 Mohd Yusri bin Haji Abu Bakar.
Antara intipati ceramah tersebut telah mengungkap dan mengimbas kembali akhlak dan sifat Nabi Muhammad SAW yang penyabar dan pemaaf kepada umatnya mahupun kepada orang-orang yang bukan golongan pengikutnya. Antara iktibar yang dapat diambil juga adalah dari peristiwa Peperangan Uhud mengenai dengan kepentingan mentaati arahan pemimpin demi kejayaan.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI