BRUNEI MUARA, Sabtu, 14 September 2024 – Pada malam 13 September, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah menjalankan satu Operasi Sepadu bersama agensi-agensi penguatkuasa undang-undang yang melibatkan pegawai dan anggota seramai 180 orang dari Ibu Pejabat Daerah Polis Brunei Muara Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED), Biro Kawalan Narkotik (BKN), Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (KDN), Jabatan Buruh, Jabatan Bandaran BSB (JBBSB) dan Jabatan Perkhidmatan Eletrik (JPE).
Objektif operasi adalah bagi memastikan pelaksanaan perjalanan Perhimpunan Dan Perarakan Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasalam Tahun 1446 Hijrah di Daerah Brunei Muara berjalan dengan lancar melalui pendekatan pencegahan jenayah.
Operasi berkenaan telah diketuai oleh Penolong Pegawai Pemerintah Daerah Polis Brunei Muara Bahagian Operasi (A/OCPD OPS) DSP Pengiran Haji Khairul Hakimin bin Pg Haji Kamaludin, Pegawai Penyiasat Jenayah Daerah Polis Brunei Muara (DSP) Mohammad Amerol bin Haji Metussin serta pegawai-pegawai dan anggota-anggota agensi yang terlibat dalam operasi semalam.
Sasaran operasi tertumpu di gedung-gedung perniagaan di Bandar Seri Begawan secara serentak telah dijalankan di kawasan Jln McArthur, Jln Sultan dan Jln Roberts.
Berikutan hasil daripada operasi berkenaan;
JKED : 6 orang ditahan atas kesalahan memiliki minuman keras dan rokok dibawah Seksyen 146 (1) (d) Perintah Eksais 2006
BKN : 5 orang lelaki ditahan atas kesalahan di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah iaitu memakan dadah terkawal dan memiliki alat dipercayai untuk menghisap dadah.
JPE : 3 buah premis telah didapati kesalahan dan dipotong bekalan elektrik.
Jabatan Buruh : 65 pekerja telah diambil keterangan dan mendapati kesalahan-kesalahan majikan dibawah Perintah Pekerjaan 2009.
JBBSB: Sebuah restoran didapati membuat kesalahan membuang sampah perniagaan di kawasan belakang premis.
Antara objektif operasi sepadu ini adalah sebagai tindakkan proaktif bagi mengeratkan lagi kerja berpasukan khususnya bagi mencegah kejadian yang melanggar peraturan dan undang-undang di negara ini dan sekaligus membendung sebarang kegiatan Jenayah sebelum Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasalam Tahun 1446 Hijrah di Daerah Brunei Muara.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI