BERAKAS, Khamis, 5 September 2024 – Bahagian Siasatan Jenayah Siber (BSJS), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah dijemput oleh Jabatan Penerangan untuk menyampaikan sesi taklimat pada Program Literasi Penerangan bagi Belia-Belia Daerah Tutong kali ke-3.
Taklimat yang disampaikan menyentuh isu mengenai berita palsu, Jenayah Siber dan Penipuan dalam talian (Online Scam) oleh Ketua Inspektor Adinin bin Haji Ahmad, yang menegaskan mengenai bahaya ancaman jenayah siber yang khusus ditujukan kepada belia-belia kini.
Dengan peningkatan ancaman dalam penipuan dalam talian, inisiatif ini bertujuan untuk mendidik belia-belia tentang amalan selamat di internet, buli siber, penipuan dalam talian dan cara melindungi maklumat peribadi dan kaedah mengenal taktik penjenayah dalam usaha memancing pengguna-pengguna internet khasnya melalui aplikasi sosial media.
Beberapa tunjuk cara dan tip praktikal telah pun diajarkan semasa pembentangan tersebut termasuk kajian kes yang disiasat oleh Bahagian Siasaan Jenayah SIber sendiri yang menekankan mengenai risiko penyewaan akaun bank dan nombor perhubungan (aplikasi Whatsapp) kepada penjenayah dalam melebar luaskan penipuan mereka di internet.
Program ini dihasratkan agar dapat memperkasakan belia-belia dengan pengetahuan meluas ancaman penjenayah siber untuk sentiasa kekal selamat dalam mengharungi era digital hari ini.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI