GADONG, Khamis, 29 Ogos 2024 – Seramai 12 Pegawai Kadet telah ditauliahkan sebagai Penolong Penguasa Polis (ASP) setelah menjalani 10 bulan latihan asas kepolisan yang dikendalikan sepenuhnya oleh Pusat Latihan Polis (PLP), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB).
Pegawai Kadet Penolong Penguasa Polis Skuad 1/2023 ini terdiri daripada 9 orang lelaki dan 3 orang wanita. Majlis Perbarisan Tamat Latihan Pegawai Kadet Penolong Penguasa Polis telah diadakan di Padang Kawad Besar Pusat Latihan Polis PPDB, Gadong.
Hadir selaku Tetamu Kehormat pada upacara tersebut adalah Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi Bin Haji Mohd Yussof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Turut hadir, Pesuruhjaya Polis, PPDB, Dato Paduka Seri Awang Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali Timbalan Pesuruhjaya Polis, PPDB, Dato Seri Pahlawan Awang Sulaiman bin Alidin, Pengarah dan Timbalan Pengarah, Pegawai-pegawai Kanan PPDB serta ahli keluarga pegawai-pegawai yang diraikan.
Majlis yang bersejarah itu dimulakan dengan pemeriksaan perbarisan kawalan kehormatan dan perbarisan Pegawai-pegawai kadet oleh tetamu kehormat dan seterusnya, diikuti dengan ucapan dari tetamu kehormat.
Antaralain, semasa ucapan Yang Berhormat Pehin, beliau menyentuh mengenai pencapaian PLP dalam peningkatan keupayaan dan penambahbaikan berterusan setelah berjaya melatih sepenuhnya pegawai-pegawai kadet tersebut.
Yang Berhormat Pehin juga mengimbas kembali petikan Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena lawatan ke PPDB pada 06 Disember 2022 dan menyeru para Pegawai Kadet untuk sentiasa mengekalkan tahap disiplin yang tinggi dan berintegriti, menghayati jati diri Polis dengan memahami peranan dan tanggungjawab kepada raja, negara dan masyarakat, menjalankan tugas dengan berkesan, jujur dan amanah serta mempraktikkan nilai-nilai teras PPDB semasa bertugas dan juga dalam kehidupan seharian.
Seterusnya Pegawai Kadet Ahmad Shawabi Bin Haji Sout telah dipilih sebagai Pegawai Kadet Terbaik dan dianugerahkan Sijil Kepujian dan Pedang Kehormat (Sword of Honor).
Setelah selesai, Tetamu Kehormat seterusnya dijemput beramah mesra dengan Pegawai-pegawai kadet yang baharu ditauliahkan dan sesi bergambar bersama keluarga masing-masing, diadakan di Dewan Bankuet Mes, Ibu Pejabat Polis, Gadong.
Upacara berkenaan merupakan acara kemuncak latihan kepolisan asas yang intensif dan sangat mencabar, untuk meningkatkan dan memupuk keperibadian dan perwatakan sebagai seorang pemimpin yang berdisiplin, berpengetahuan dan berintegriti.
Seluruh warga PPDB mengucapkan selamat datang ke dalam keluarga pasukan dan selamat menjalankan tugas dan berkhidmat dengan amanah kepada raja, agama dan negara.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI