GADONG, Selasa 13 Ogos – Bahagian Siasatan Jenayah Siber (BSJS), Pasukan Polis Diraja Brunei ingin memberi amaran kepada orang awam mengenai aktiviti penipuan pelaburan yang semakin berleluasa dipromosikan melalui aplikasi Telegram.
Skim penipuan ini menawarkan peluang pelaburan tidak wujud, menjanjikan pulangan yang menarik dan bebas risiko dalam tempoh masa singkat. Mangsa akan diminta membayar wang pendahuluan dan pengeluaran ke akaun bank yang tidak dikenali.
Penjenayah akan menggunakan pelbagai nama dan menyamar sebagai entiti bank atau syarikat pelaburan yang berlesen dengan menggunakan nama, logo, kelayakan, dan laman web entiti sah untuk mempromosikan skim pelaburan ini. Mereka mewujudkan kumpulan awam di Telegram untuk menarik pelabur dengan testimoni palsu dan dakwaan patuh Syariah. Pelabur yang berminat diarahkan untuk berurusan terus dengan individu yang meminta deposit ke dalam akaun peribadi.
Penjenayah mendakwa entiti mereka dan skim pelaburan telah diluluskan oleh pihak berkuasa, sedangkan ini adalah tidak benar.
Orang ramai diingatkan supaya tidak terpedaya dengan tawaran sebegini kerana biasanya pulangan pelaburan yang dijanjikan adalah tidak realistik dan tidak mampan. Mangsa sering didesak membuat keputusan segera kononnya tawaran itu sah untuk tempoh terhad, namun ini adalah taktik untuk menghalang penelitian lanjut.
Adalah diingatkan bahawa mereka yang terlibat atau mempermudah penipuan ini, sama ada melalui peminjaman atau penyewaan akaun bank dan nombor telefon bagi tujuan tersebut, boleh dikenakan tindakan undang-undang berdasarkan:
1. Seksyen 109 (Subahat), 120B (Pakatan Jahat Jenayah), 411 (Menerima harta curi secara tidak jujur), 419 (Menipu dengan menyamar), 420 (Menipu dan secara tidak jujur mendorong supaya harta diserahkan), dan 424 (Secara tidak jujur atau secara fraud memindah atau menyembunyikan harta) Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22.
2. Seksyen 3(1) Pembersihan Wang Haram, Perintah Mendapatkan Kembali Aset Jenayah 2012.
3. Seksyen 93(1) Mengambil Deposit Secara Tidak Sah, Banking Order 2006.
Pasukan Polis Diraja Brunei menyeru sesiapa yang mengesyaki bahawa mereka telah dihubungi oleh entiti atau individu yang tidak sah, atau telah menerima tawaran pelaburan mencurigakan, untuk melaporkan kepada Bank Pusat Brunei Darussalam dan Pasukan Polis Diraja Brunei.
Sebarang pelaburan melalui aplikasi online seperti Telegram biasanya menjurus kepada penipuan. Masyarakat digalakkan untuk membuat penyelidikan mendalam dan mendapatkan nasihat kewangan yang sah sebelum membuat sebarang keputusan pelaburan.
Dikeluarkan Oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
IBU PEJABAT POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI