Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

MAJLIS PENUTUP DAN PENYAMPAIAN SIJIL KURSUS KEBERKESANAN PK
BERAKAS, Khamis 4 Jul – Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah mengadakan Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil bagi Kursus Asas Keberkesanan Pengawasan Kejiranan (PK) sesi 1/2024 yang telah diadakan selama dua (2) hari di Dewan Serbaguna Balai Polis Berakas.

Seramai 41 orang peserta telah menyertai kursus berkenaan dan mereka terdiri daripada kakitangan kerajaan termasuk ketua-ketua kampung, kakitangan swasta dan orang awam yang merupakan ahli-ahli yang berdaftar di bawah program PK di bawah tadahan Daerah Polis Brunei & Muara.

Hadir selaku tetamu kehormat dan penyampai sijil kursus ialah Pemangku Pegawai Pemerintah Daerah Polis Brunei Muara, Yang Mulia Penguasa Polis Haji Muhd Shaker bin Hj Nayan serta pegawai dan anggota-anggota daripada Daerah Polis Brunei Muara. Manakala, Unit Perhubungan Awam Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) selaku Urusetia Pengawasan Kejiranan PPDB dan penyelaras kursus.

Sepanjang kursus, para peserta telah diberikan taklimat dan penerangan yang telah disampaikan oleh pegawai daripada jabatan-jabatan di bawah PPDB serta pegawai jemputan daripada Jabatan Penguam Negara, Jabatan Syariah dan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.

Objektif kursus ini adalah untuk meningkatkan pengetahuan serta pemahaman yang lebih terperinci mengenai penguatkuasaan undang-undang sebagai ahli Pengawasan Kejiranan di samping mengeratkan lagi hubungan silaturrahim antara pihak PPDB dengan masyarakat.

Dalam pada itu, kursus Asas Keberkesanan PK ini juga diharapkan akan menjadi pemangkin dalam mencapai hasrat PK iaitu meningkatkan kerjasama antara masyarakat dan PPDB dalam mengesan dan mencegah jenayah di negara ini.




Dikeluarka​n oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI​​​​​​​​​​​​​​​​​



Attachments