BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu 26 Jun - Unit Penumpasan Perjudian dan
Pencegahan Jenayah, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Pasukan Polis Diraja Brunei
(PPDB) dengan bantuan Unit Siasatan Khas dan Unit Pecah Rumah dan Pecah Kereta, JSJ, telah berjaya melumpuhkan
kegiatan perjudian di kawasan Mukim Kilanas, Brunei-Muara semalam.
Serbuan yang dijalankan di sebuah rumah sewa telah berhasil menahan 16 orang
lelaki warga asing, terdiri daripada warganegara Bangladesh, Indonesia dan Malaysia.
Wang berjumlah BND 9,439.80, SGD 14.00 dan RM 2.00 juga turut dirampas bersama
peralatan-peralatan yang digunakan untuk kegiatan judi jenis katam-katam termasuk
kain katam, tempat mengisi buah dadu (Kong) bersama dadunya. Kesemua
tahanan telah dibawa ke hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha untuk pemeriksaan
kesihatan dan seterusnya di tahan untuk siasatan lanjut. Dipercayai beberapa orang
suspek telah melarikan diri melalui longkang besar di belakang rumah tersebut.
Kes ini disiasat di bawah seksyen 4, iaitu kesalahan pengendalian tempat perjudian
yang membawa hukuman denda BND20,000 dan penjara 12 bulan, manakala di
bawah seksyen 6 (1) kesalahan bermain judi membawa hukuman denda BND10,000
dan penjara 6 bulan, Akta Rumah Judi Terbuka, Penggal 28.
Kerjasama orang ramai serta agensi-agensi penguatkuasa undang-undang dalam
menyalurkan maklumat adalah sangat berkesan dan membolehkan operasi
pembanterasan aktiviti yang menyalahi peraturan ini dapat dilaksanakan dengan
jayanya.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI