Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

JERAYAWARA JENAYAH PERDAGANGAN MANUSIA

​BERAKAS, Isnin 3 Jun – Dalam usaha memperkukuhkan penguatkuasaan undang-undang membenteras pemerdagangan orang di Brunei Darussalam, Unit Siasatan Pemerdagangan Manusia (USPM) dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah mengendalikan jerayawara mengenai Jenayah Pemerdagangan orang kepada beberapa agensi-agensi penguatkuasa kerajaan seperti Jabatan Buruh; Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED); Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK); dan Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) yang mana agensi-agensi ini adalah ahli-ahli bagi Jawatankuasa Kebangsaan bagi Anti-Pemerdagangan Orang dan Jawatankuasa Kerja bagi Anti-Pemerdagangan Orang. 

Jerayawara mengenai Jenayah Pemerdagangan Orang ini diadakan pada 03hb Jun 2024 sehingga 06hb Jun 2024 iaitu di Jabatan Buruh, JKED, JIPK dan JAPEM. Tujuan utama jerayawara ini diadakan adalah bagi mengetahui dan memahami secara lebih dalam tentang fungsi serta peranan USPM di dalam usaha-usaha pembenterasan dan pencegahan jenayah pemerdagangan orang khususnya bagi pegawai-pegawai penguatkuasa di barisan hadapan, ‘first responders’ dan penyiasat di jabatan-jabatan kerajaan yang terlibat. 

Antara perkara yang bentangkan dalam taklimat yang diberikan, adalah elemen-elemen pemerdagangan orang dan perbezaannya dengan penyeludupan orang. Pada tahun 2023 sejumlah 123 kes yang dinilai untuk mencari unsur-unsur jenayah pemerdagangan orang oleh USPM dan telah mendapati sebanyak 6 kes yang terdapat elemen dan indikasi yang menjurus kepada siasatan jenayah pemerdagangan orang. 

Jerayawara ini mengandungi taklimat tentang Jenayah Pemerdagangan Orang telah disampaikan oleh Timbalan Penguatkuasa Polis Hajah Anis @ Roszaffina binti Haji Ahmad, Ketua USPM, JSJ dan turut dipamerkan adalah kes-kes yang telah selesai disiasat oleh ahli-ahli di USPM yang disiasat di bawah Seksyen 5 (1) atas kesalahan Pemerdagangan Orang dan Sekyen 6 atas kesalahan Pemerdagangan Seksual dari Akta Anti Pemerdangan Orang Penggal 230.




Dikeluarka​n oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI​​​​​​​​​​​​​​​​


Attachments