Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

PEROMPAK BERSIRI DIJATUHKAN HUKUMAN

​BRUNEI-MUARA, Isnin 18 Mac - Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) berjaya menangkap dua lelaki warganegara Malaysia dan seorang lelaki warganegara Indonesia yang terlibat dalam tujuh rompakan bersiri yang telah menimbulkan kebimbangan dan ketakutan di kalangan penduduk di negara ini. 

Rompakan bersiri yang berlaku pada tahun 2023 antara bulan Julai dan Disember, di Daerah Tutong dan di Daerah Brunei Muara, telah membabitkan kerugian lebih BND$72,000. 

Dalam usaha menangkap individu-individu yang terlibat dalam kes-kes ini, Pasukan Polis Diraja Brunei melalui Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) telah menubuhkan satu pasukan khas yang melibatkan pegawai dan anggota dari beberapa Jabatan dan formasi Pasukan di negara ini dan diketuai oleh Unit Siasatan Khas (USK), JSJ. Tindakan siasatan dan risikan intensif telah dijalankan dengan gigih termasuk juga bekerjasama dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya Ibu Pejabat Polis Daerah Limbang, Sarawak bagi bantuan menjejaki penjenayah-penjenayah berkenaan. 

Siasatan mendapati, penjenayah-penjenayah berkenaan telah memasuki dan keluar dari negara ini melalui ‘jalan-jalan tikus’ bagi mengelakkan diri dari dikesan oleh pihak berkuasa semasa berada di negara ini bagi melakukan jenayah-jenayah rompak berkenaan. 

Pada 13hb Februari 2024, di Mahkamah Tinggi Negara Brunei Darussalam, ketiga-tiga individu ini telah dituduh di bawah seksyen 395 dan seksyen 398, Kanun Hukuman Jenayah iaitu bagi kesalahan Rompakan Berkumpulan dan Rompakan Berkumpulan Bersenjatakan Dengan Senjata Maut. 

Dan pada 14hb Mac 2024, semua yang dituduh telah selesai dijatuhkan hukuman seperti berikut:- 

1. Mohd Saiful Rizal bin Sinen, Hukuman: 10 tahun pemenjaraan dan 12 sebatan; 

2. Muhammad Amin bin Zabidi, Hukuman: 12 tahun pemenjaraan dan 12 sebatan; dan 

3. Sakriadi bin Saharuddin, Hukuman: 8 tahun pemenjaraan dan 12 sebatan. 

PPDB mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan penghargaan kepada agensi-agensi dan orang ramai yang telah bekerjasama dalam penyiasatan kes dan turut bekerjasama dalam membantu menyalurkan maklumat yang berkaitan sehingga tertangkapnya penjenayah-penjenayah ini. 

Pasukan Polis Diraja Brunei akan terus komited dan tegas dalam usaha membanteras kegiatan jenayah dan memastikan keselamatan masyarakat terjaga. Dalam masa yang sama, Pasukan Polis Diraja Brunei penuh berharap agar masyarakat akan terus berwaspada dan bekerjasama dengan agensi-agensi penguatkuasa undang-undang dalam menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah yang berlaku dipersekitaran masing-masing. 




Dikeluarka​n oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI​​​​​​​​​​​​​​​​


Attachments