TEMBURONG Rabu 06 September – Kerjasama yang berterusan di antara Pasukan Simpanan Polis ‘C’ kompeni, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) ketika menjalankan rondaan harian di kawasan Kampung Puni terserempak dengan sebuah kenderaan yang mencurigakan.
Kenderaan terbabit diperiksa setelah memasuki jalan kampung Puni A dan diletakkan di kawasan penghujung jalan. Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan berkenaan, didapati beberapa kotak yang dibungkus dengan plastik yang dipercayai barang tegahan iaitu minuman keras sebanyak 144 botol.
Kotak-kotak berkenaan diletakkan di bahagian tempat duduk penumpang belakang dan bahagian bonet kenderaan. Manakala pemandunya sempat melarikan diri sebelum pihak polis sampai di tempat kejadian.
Kenderaan dan barang bukti dibawa ke Balai Polis Bangar, Daerah Polis Temburong bagi siasatan selanjutnya. Kesemua barang rampasan berserta kenderaan tersebut diserahkan ke Jabatan Kastam dan Eksais Diraja bagi siasatan dan tindakan selanjutnya.
Pasukan Polis Diraja Brunei ingin menyeru orang ramai agar dapat menyalurkan dan mengongsikan sebarang maklumat mengenai apa jua kegiatan jenayah ke Pasukan Polis Diraja Brunei melalui talian 993 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI