GADONG, Rabu 30 Ogos – Dalam usaha bersama untuk menangani jenayah Pemerdagangan Manusia dan Buruh Paksaan, Homeland Security Investigations (HSI), Amerika Syarikat melalui Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah melancarkan pembukaan Seminar Membenteras Pemerdagangan Manusia dan Buruh Paksaan selama 3 hari bermula dari 28 Ogos hingga 30 Ogos di Dewan Bankuet Mes, Kompleks Ibu Pejabat Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB).
Acara pembukaan seminar berkenaan telah dihadiri oleh Timbalan Pesuruhjaya Polis YM Dato Seri Pahlawan Sulaiman bin Hji Alidin dan turut hadir selaku Tetamu Kehormat adalah Puan Yang Terutama Caryn R. McClelland, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Amerika Syarikat (AS) ke Negara Brunei Darussalam.
Seminar ini mendatangkan 6 orang pakar isikandungan (subject matter experts) dari Pihak HSI. Peserta bagi seminar tersebut diikuti 70 peserta daripada agensi penguatkuasa undang-undang iaitu Pasukan Polis Diraja Brunei, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan, Jabatan Buruh, Jabatan Pembangunan Masyarakat dan Jabatan Peguam Negara.
Antara lain seminar ini juga telah membuat pengajian kes (case studies), latihan praktikal dengan scenario temuduga dan pengongsian tren-tren terbaru dalam jenayah pemerdagangan manusia.
Di samping itu, seminar tersebut akan diambil kira sebagai satu pencapaian matlamat dalam Key Performance Index (KPI) di Pelan Tindakan Kebangsaan bagi Anti-Pemerdagangan Orang.
“Pemerdagangan manusia adalah jenayah yang merampas maruah, kebebasan dan hak asasi manusia berjuta-juta orang. Selagi ia terus wujud, ia akan terus menghalang perlindungan hak asasi manusia dan mensabotaj keselamatan, sekuriti dan kekuatan negara kita. Seminar minggu ini menunjukkan bahawa ia memerlukan komitmen daripada kita semua untuk menghentikannya," kata Duta Besar A.S. ke Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Caryn R. McClelland pada kenyataan bersama PPDB beliau.
“Pemerdagangan manusia merentasi sempadan, budaya dan latar belakang sosioekonomi. Oleh itu, kita mesti mempertanggungjawabkan pelaku pemerdagangan manusia, memastikan perlindungan mangsa, dan mencegah keadaan yang membolehkan pemerdagangan manusia. Seminar ini telah menekankan keperluan untuk bertindak, bersatu, dan mencipta rangka kerja teguh yang merungkai rangkaian yang mengeksploitasi orang-orang yang terdedah. Kita mesti meningkatkan usaha untuk menambah kesedaran, untuk mendidik rakyat, untuk menyiasat dan akhirnya untuk mendakwa penyeludup. Ini memerlukan kerjasama dan usaha kolektif daripada pelbagai agensi. Pemerangan menentang pemerdagangan manusia masih berterusan, tetapi bersama-sama, kita mempunyai kuasa untuk mengubah hala tujunya," kata Timbalan Pesuruhjaya Polis, Yang Mulia Dato Seri Pahlawan Sulaiman bin Alidin, dalam ucapan penutup semasa majlis penutup seminar berkenaan.
Objektif seminar ini adalah untuk menyediakan forum yang mana peserta boleh menambahbaik keupayaan untuk memahami dan mengenal pasti pemerdagangan manusia dan kesan-kesan kepada mangsa, dan juga untuk belajar mengenai cara membanteras jenayah pemerdagangan manusia.
Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI