Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

KEJOHANAN INTER FORCES GAMES DAN MESYUARAT DUA HALA

BRUNEI MUARA, Rabu 17 Mei - Kejohanan Inter Forces Games dan Mesyuarat Dua Hala kali ke-16 di antara Pasukan Polis Diraja Brunei dan Pasukan Polis Singapura telah berlangsung selama tiga hari bermula 15 hingga 18 Mei 2023. ​

Acara tersebut merupakan acara tahunan yang dihoskan secara bergilir-gilir oleh kedua-dua Pasukan Polis berkenaan. Kejohanan Inter Forces Games kali ini mempertandingkan sebanyak tiga acara sukan iaitu golf yang berlangsung di Padang Kelab Golf Pantai Mentiri manakala sukan badminton dan bola sepak berlangsung di Stadium Hassanal Bolkiah, Ibu Pejabat Polis Gadong. 

Pasukan Polis Singapura telah berjaya menjadi juara kejohanan Inter Forces Games pada kali ini setelah berjaya memenangi 2 daripada 3 sukan yang dipertandingkan iaitu badminton dan bola sepak. Manakala Pasukan Polis Diraja Brunei berjaya memenangi sukan golf. Penyampaian “Champion Shield” bagi juara kejohanan telah disampaikan oleh Snr Supt Pg Muhaimin bin Pg Mustapha, Pengerusi Majlis Sukan Pasukan Polis Diraja Brunei pada Majlis Malam Penutup Kejohanan Inter Forces Games yang berlangsung di salah sebuah hotel di Gadong. 

Hadir selaku Tetamu kehormat pada Majlis Malam Penutup Kejohanan Sukan Inter Forces Games tersebut ialah Pesuruhjaya Polis, Pasukan Polis Diraja Brunei, Yang Mulia Dato Paduka Seri Awang Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali, turut Hadir Timbalan Pesuruhjaya Polis, Pasukan Polis Singapura, Yang Mulia DC Lian Ghim Hua. 

Selain daripada kejohanan sukan tersebut, turut diadakan ialah Mesyuarat Dua Hala Ke-16 di antara Pasukan Polis Diraja Brunei dan Pasukan Polis Singapura yang dilangsungkan pada 17 Mei 2023 bertempat di Ibu Pejabat Pasukan Polis Diraja Brunei. 

Terdahulu, Pesuruhjaya Polis Pasukan Polis Diraja Brunei, Yang Mulia Dato Paduka Seri Awang Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali dan Timbalan Pesuruhjaya Polis Singapura, DC Lian Ghim Hua, masing-masing telah menyampaikan ucapan alu-aluan bagi membuka mesyuarat dua hala tersebut. 

Kejohanan Inter Forces Games dan Mesyuarat Dua Hala di antara Pasukan Polis Diraja Brunei dan Pasukan Polis Singapura merupakan platform penting bagi mengukuhkan kerjasama di antara kedua pasukan di samping bertukar-tukar maklumat dalam memupuk perpaduan hubungan kerja rapat yang penting untuk membolehkan kedua-dua pasukan untuk berkembang maju dalam menghadapi cabaran-cabaran baru. 




Dikeluarka​n oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI​​​​​​​​​
​​


Attachments