Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

TAKLIMAT ANTI-SCAM

GADONG, Selasa 16 Mei - Sebagai usaha dalam meningkatkan kesedaran terhadap isu jenayah-jenayah skim penipuan kewangan pada masa ini, satu sesi taklimat telah dikendalikan daripada pihak Pasukan Polis Singapura bertajuk Anti-Scam Talk. Taklimat berkenaan telah diadakan di Dewan Bankuet Mes, Kompleks Ibu Pejabat Pasukan Polis Diraja Brunei Gadong pada 16 Mei 2023. 

Tetamu kehormat bagi taklimat tersebut ialah ACP Hj Azree bin Hj Abd Manaf, Pemangku Pengarah Siasatan Jenayah, Pasukan Polis Diraja Brunei. Semasa menyampaikan ucapan alu-aluan, beliau berharap taklimat yang disampaikan dapat memberi inspirasi bagi perbincangan di antara agensi agensi berkepentingan di dalam menangani skim penipuan yang semakin berleluasa. Beliau menegaskan lagi semua pihak perlu berkerjasama dalam meningkatkan kesedaran, melindungi masyarakat dan komuniti serta memastikan pelaku dibawa ke muka pengadilan, sekaligus menjadikan dunia lebih selamat. 

Taklimat berkenaan telah dihadiri oleh seramai 250 orang terdiri daripada pegawai dan anggota Pasukan Polis Diraja Brunei, Polis Tentera Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pejabat Peguam Negara, Brunei Darussalam Central Bank (BDCB), wakil-wakil dari Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Baiduri Bank, Maybank, RHB Bank, Standard Chartered Bank, United Overseas Bank, Bank of China, Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB), Cyber Security Brunei (CSB), Information Technology Protective Security Services (ITPSS) dan Brunei Computer Emergency Response Team (Brucerts). 

Taklimat telah disampaikan oleh DAC Aileen Yap, Assistant Director Anti Scam Command, Commercial Affairs Department, Singapore Police Force. 

Secara ringkasnya, DAC Aileen Yap percaya walaupun penipuan tidak boleh dibanteras sepenuhnya akan tetapi antara strategi yang berkesan adalah dengan meningkatkan kos operasi sindiket tersebut dan sekaligus akan mengurangkan keuntungan mereka. 

Pendekatan yang diambil bagi memerangi skim penipuan hendaklah menggunakan pendekatan secara menyeluruh dari semua komuniti dan masyarakat. Setiap pihak adalah digesa untuk sentiasa bersatu dalam menentang isu skim penipuan kewangan melalui kerjasama yang erat bersama pihak-pihak berkepentingan seperti pihak-pihak bank, Pejabat Peguam Negara, sektor kewangan, sektor swasta dan agensi keselamatan siber. 

Dalam pada itu, turut dikongsikan semasa taklimat tersebut adalah pelbagai nasihat dan amalan terbaik dalam memerangi skim penipuan dan juga tatacara bagaimana pihak-pihak berkepentingan dapat membantu serta menangani jenayah skim penipuan ini, sepertimana yang dilakukan oleh pihak Pasukan Polis Singapura. 

Kesan daripada isu skim penipuan kewangan mahupun pelaburan ini dilihat memberi impak yang sangat memudaratkan terutama sekali menjurus kepada aspek kewangan, tekanan emosi, keluarga malah boleh sahaja melibatkan kecederaan fizikal. 

Oleh itu, adalah sangat penting bagi semua pihak untuk berwaspada, membuat persediaan awal dan mempunyai kerjasama yang padu dalam menentang isu skim penipuan ini bagi melindungi diri kita dan juga masyarakat keseluruhannya.



Dikeluarka​n oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI​​​​​​​​​


Attachments