Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

PERCUBAAN SELUDUP GAGAL

BRUNEI MUARA, Sabtu 11 Mac – Hasil operasi rondaan dan pemantauan jenayah yang berterusan Pasukan Polis Simpanan C Kompeni, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dan kerjasama bersama Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) membuahkan hasil bilamana percubaan untuk membawa masuk barangan tegahan berjaya digagalkan pada 10 Mac 2023. 

Kegiatan berkenaan terbongkar apabila sebuah kenderaan yang melalui di kawasan Kg Junjongan nampak dalam keadaan mencurigakan dan pihak polis segera mengejar kenderaan tersebut bagi menjalani siasatan awal. 

Kenderaan bersama pemandu dan penumpang berjaya ditemui setelah kenderaan tersebut terbabas ke dalam parit. Siasatan dijalankan ke atas kenderaan berkenaan dan telah menemukan beberapa kotak dipercayai barang tegahan iaitu minuman keras.

Seterusnya kenderaan, penemuan barang-barang mencurigakan serta dua (2) orang suspek dibawa ke Balai Polis Limau Manis bagi menjalani siasatan awal dan kes ini diambil alih siasatannya oleh Jabatan Kastam dan Eksais Diraja bagi siasatan lanjut. 

Hasil daripada pemeriksaan telah menemukan sejumlah 3 kotak besar mengandungi 156 botol minuman keras pelbagai jenama. Kedua-dua suspek merupakan lelaki dan wanita warganegara tempatan berumur dalam lingkungan 36 dan 37 tahun. 

PPDB serta agensi penguatkuasa undang-undang lain akan terus komited menjalankan usaha membanteras, merisik serta membuat pemantauan berterusan ke atas sebarang kegiatan jenayah yang berlaku berhampiran sempadan-sempadan Negara Brunei Darussalam. 



Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI​​​​​


Attachments