Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

RAMPAS BARANGAN TIDAK DIISYTIHARKAN

TEMBURONG, Ahad 22 Jan - Pelbagai produk kosmetik, kecantikan, kesihatan serta makanan dipercayai tidak diisytiharkan adalah antara lain yang dirampas hasil daripada penahanan sebuah kenderaan yang mencurigakan di kawasan Jalan Bokok, Temburong pada sekitar awal malam 21 Januari 2023. 

Insiden penahanan adalah berpunca daripada pemantauan keanggotaan Detektif Balai Polis Bangar, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) ke atas sebuah kenderaan yang mencurigakan yang dipandu dalam keadaan laju yang cuba keluar daripada Jalan Rataie, Daerah Temburong. 

Peronda Balai segera dimaklumkan dan seraya berjaya menemukan kenderaan berkenaan tanpa sebarang pemandu di kawasan salah sebuah perumahan barek, Temburong. 

Pemeriksaan awal ke atas kenderaan berkenaan telah menemukan sejumlah kotak yang mencurigakan tersimpan di bahagian kerusi penumpang bahagian belakang. Kenderaan tersebut berserta barangan rampasan dibawa ke Balai Polis Bangar bagi siasatan awal. 

Kes penyiasatan dan kesemua barang rampasan kemudiannya diserahkan kepada Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) bagi tindakan lanjut. 

Pasukan Polis Diraja Brunei akan sentiasa bekerjasama dan berganding bahu bersama agensi penguatkuasaan undang-undang di negara ini dalam membanteras dan mencegah dari berlakunya jenayah dan isu penyeludupan rentas sempadan di Negara Brunei Darussalam. 

Pasukan Polis Diraja Brunei memohon kerjasama orang ramai bagi membantu pihak berkuasa dalam memerangi jenayah penyeludupan dengan menyalurkan maklumat yang berkaitan melalui talian-talian kecemasan pihak penguatkuasa undang-undang di negara ini.



Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI​​​​


Attachments