Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

SEORANG SUSPEK DITAHAN MELIBATKAN BARANG TEGAHAN

KUALA LURAH, Selasa 10 Jan - Pasukan Simpanan Polis ‘C’ Kompeni, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah berhasil merampas sejumlah barang tegahan dan seterusnya berjaya membuat penahanan ke atas seorang (1) individu yang dipercayai melibatkan diri dengan kegiatan penyeludupan barang-barang tegahan. 

Adapun serbuan tersebut telah dijalankan pada 10 Januari 2023 sekitar awal pagi bertempat di kawasan peindustrian Kg Kuala Lurah, Daerah Brunei Muara. Terdahulu, semasa operasi rutin yang dijalankan oleh keanggotaan Pasukan Simpanan Polis ‘C’ Kompeni telah mengesan 2 buah kenderaan yang mencurigakan diletakkan di kawasan berkenaan tanpa ada sebarang pemandu. Rondaan lalu dijalankan di kawasan berdekatan dan telah menemukan seorang individu dipercayai adalah merupakan salah seorang pemandu (suspek) dan pemilik kepada salah sebuah kenderaan tersebut. 

Pemeriksaan kemudian dijalankan ke atas kenderaan suspek dan mendapati terdapat sejumlah 15 kotak bungkusan kotak besar dipercayai barang tegahan yang berisi 747 katon rokok pelbagai jenama yang telah cuba diseludup ke dalam negara ini. 

Suspek adalah seorang warganegara tempatan yang berumur 26 tahun. 

Balai Polis Limau Manis, Pasukan Polis Diraja Brunei segera dihubungi bagi menjalankan siasatan awal. Suspek berserta kesemua penemuan barang rampasan dan bahan bukti kemudiannya diserahkan ke Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) bagi siasatan lanjut. 

Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) memandang serius akan kegiatan-kegiatan penyeludupan ini dan akan sentiasa terus membuat pemantauan serta menjalankan operasi-operasi bagi membenteras kegiatan sedemikian. 

Pihak polis juga ingin menyarankan kepada orang ramai agar dapat bekerjasama dan memberikan apa jua jenis maklumat dengan mengongsikan ke talian kecemasan 993 atau mana-mana balai polis yang berdekatan serta boleh disalurkan melalui e-mel laman sesawang PPDB www.polis.gov.bn ataupun Instagram @upa.ppdb.


 

Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI​​​


Attachments