Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

PANGGILAN PALSU DARIPADA PIHAK PERBANKAN

BRUNEI MUARA, Selasa 9 Nov - Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) ingin menasihatkan kepada orang ramai agar lebih berwaspada dan berhati-hati berhubung kegiatan scam yang sedang tular di negara ini. Scam ini melibatkan panggilan telefon daripada individu yang mengaku dan menyamar sebagai seorang pegawai daripada Pihak Perbankan. 

Beberapa laporan aduan telah diterima oleh PPDB di mana mangsa telah menerima panggilan telefon yang tidak dikenali menggunakan nombor talian seperti ‘+1549716557’, ‘+5731381453’, +8519254502, +5447178375 atau ‘+672242334’ serta beberapa nombor talian telefon lagi. Pemanggil juga didapati menggunakan loghat luar negara atau asing semasa berhubung di talian tersebut. 

Antara lain Modus Operandi kegiatan scam ini dengan menghubungi mangsa dan menjelaskan mengenai; 

1- Pemanggil (suspek) memperkenalkan diri sebagai seorang pegawai bank atau pegawai dari penguatkuasa undang-undang. 

2- Suspek memaklumkan mengenai tuntutan pinjaman kewangan iaitu transaksi penggunaan kad kredit, atau bayaran pinjaman yang tertunggak. 

3- Suspek kemudian akan cuba untuk mendapatkan maklumat peribadi si mangsa kononnya untuk disemak dalam sistem mereka. 

4- Suspek juga akan memindahkan panggilan tersebut kepada pegawai yang lebih tinggi atau yang mempunyai autoriti / kuasa bertujuan untuk memperdayakan lagi mangsa untuk mempercayai scam mereka. 

5- Mangsa akan dikerah untuk membuat pembayaran segera dengan jumlah wang yang besar bagi menyelesaikan tuntutan tersebut dan jika gagal membuat pembayaran tindakan akan dijalankan seperti mengeluarkan surat saman dari pihak mahkamah ataupun arahan tangkap ke atas mangsa berkenaan. 

Pada ketika ini, PPDB sedang giat dan aktif menjalankan siasatan berhubung aduan dan laporan mengenai kes scam ini. 

Oleh yang demikian, PPDB ingin menekankan dan menasihatkan kepada orang awam agar tidak memberikan sebarang maklumat peribadi dan perakaunan kepada mana-mana pihak yang tidak dikenalpasti, terutama apabila menerima panggilan sedemikian. 

Untuk maklumat lanjut atau membuat laporan mengenai panggilan berkenaan, orang ramai boleh menghubungi pihak polis di talian 993 atau di mana-mana balai polis berdekatan. 



Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI​​


Attachments