Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

PEMANTAUAN PENCEGAHAN JENAYAH MEMBUAHKAN HASIL

TEMBURONG, Selasa 9 Ogos - Pemantauan yang berterusan telah membuahkan hasil apabila rondaan pencegahan jenayah keanggotaan Balai Polis Bangar, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah berjaya membuat penahanan ke atas seorang individu yang dipercayai terlibat dengan penemuan daging mentah yang meragukan serta peralatan bagi penyalahgunaan dadah. 

Rondaan pemantauan tersebut dijalankan pada 09 Ogos 2022 sekitar waktu pagi di kawasan Pekan Bangar dan telah mengenal pasti sebuah kenderaan yang disyaki dalam keadaan mencurigakan. Peronda bertugas dikerah untuk bertindak membuat penahanan bagi tujuan pemeriksaan. 

Sejurus pemeriksaan dijalankan, peronda petugas telah menemukan 2 buah baldi berisi 5 paket daging mentah dipercayai barangan yang tidak diisytihar dan juga satu kotak hitam berisi peralatan-peralatan dipercayai untuk menghisap dadah. 

Pemandu (suspek) merupakan seorang lelaki warganegara tempatan berumur 43 tahun dan tidak mempunyai pekerjaan. 

Kenderaan, suspek serta kesemua barang-barang tegahan dibawa ke Balai Polis Bangar bagi menjalani siasatan dan kes diambil alih siasatannya oleh Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) dan Biro Kawalan Narkotik (BKN) bagi tindakan selanjutnya. 

PPDB akan sentiasa mempertingkatkan pemantauan dari semasa ke semasa bagi membanteras kegiatan jenayah terutama sekali barang tegahan yang dibawa masuk ke negara ini secara seludup. 

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes jenayah atau perkara menyalahi undang-undang di negara ini agar dapat menyalurkan maklumat menerusi Talian Kecemasan Polis 993.



Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI


Attachments