Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

BARANG TEGAHAN DAN TIDAK DIISYTIHARKAN DIRAMPAS

TEMBURONG, Selasa 2 Ogos - Sebuah kenderaan berjaya ditahan anggota detektif Balai Polis Bangar, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) semasa menjalankan pemantauan pencegahan jenayah di kawasan Pekan Bangar pada 1 Ogos 2022. 

Semasa pemantauan dijalankan, pihak polis telah mengenal pasti sebuah kenderaan yang dipercayai mencurigakan di kawasan Bangar. Kenderaan (suspek) dikerah untuk berhenti bagi pemeriksaan akan tetapi ingkar malah memecut melarikan diri. 

Pihak polis kemudian mengejar kenderaan suspek lalu berjaya menahan kenderaan beserta pemandu dan penumpang tersebut di kawasan berdekatan Bangunan Brunei Bridge Authority, Daerah Temburong. 

Pemeriksaan pengenalan diri dan kenderaan dijalankan dan telah mendapati sejumlah bungkusan kotak mencurigakan tersimpan di bahagian ruangan penumpang belakang dan bahagian bonet kenderaan. 

Kedua-dua suspek bersama kenderaan dan barang mencurigakan dibawa ke Balai Polis Bangar bagi siasatan awal. Hasil daripada pemeriksaan telah menemukan barang tegahan iaitu 60 botol dan 192 tin minuman keras pelbagai jenama serta penemuan 2 bungkusan kotak besar berisi daging ayam mentah yang tidak diisytiharkan. 

Dua (2) orang suspek yang ditahan iaitu pemandu merupakan seorang lelaki warganegara tempatan berumur 38 tahun manakala penumpang ialah seorang wanita juga warganegara tempatan yang berumur 34 tahun. 

Kes penyiasatan beserta suspek dan barang rampasan diserahkan ke Bahagian Penguatkuasa Ugama (BPU) Temburong atas kesalahan dibawah bab 104 pemilikan minuman yang memabukkan dan bagi siasatan selanjutnya. 

Pasukan Polis Diraja Brunei memohon kerjasama orang ramai bagi membantu pihak berkuasa dalam memerangi jenayah penyeludupan barang larangan dan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan melalui talian-talian kecemasan pihak penguatkuasa undang-undang di negara ini.



Dikeluarkan oleh :
UNIT PERHUBUNGAN AWAM
PEJABAT PESURUHJAYA POLIS
PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI


Attachments