BANDAR SERI BEGAWAN, JUMAAT, 10 JULAI 2026 – Satu Operasi Bersepadu Daerah Polis Brunei-Muara telah dijalankan di dua lokasi dalam kawasan Bandar Seri Begawan.

Operasi ini diketuai oleh Pemangku Pegawai Pemerintah Daerah Polis Brunei-Muara, Penguasa Kanan Polis Haji Mohamad Noor bin Haji Abd Rahman, dan disertai oleh ahli Daerah Polis Brunei-Muara, Unit Siasatan Pemerdagangan Manusia, Unit Perhubungan Awam Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), Biro Kawalan Narkotik (BKN), Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (JKDN), Jabatan Buruh, Jabatan Perkhidmatan Elektrik (JPE), Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan, serta Bahagian Penguatkuasa Ugama (BPU), dengan penyertaan seramai lebih 200 orang anggota gabungan agensi berkenaan.

Hasil daripada operasi tersebut, JIPK telah menahan seorang lelaki dan seorang perempuan warganegara asing untuk disiasat di bawah Akta Imigresen. Jabatan Buruh turut mengesan tiga kesalahan di bawah Bab 81, iaitu kegagalan menyediakan tempat tinggal pekerja serta pengurusan kebersihan persekitaran yang tidak menurut peruntukan undang-undang, dan dua kesalahan di bawah Bab 86 kerana gagal mengisytiharkan tempat tinggal dalam Lesen Pekerja Asing.

Sementara itu, JPE mengesan dua kesalahan di bawah Akta Elektrik (Bab 71). Unit Siasatan Pemerdagangan Manusia turut menemubual seramai 19 orang di kedua-dua zon operasi, namun tiada kesalahan jenayah pemerdagangan orang dikesan sepanjang operasi dijalankan.

Operasi Bersepadu ini merupakan usaha berterusan PPDB bersama agensi-agensi kerajaan yang lain dalam memastikan pematuhan undang-undang serta kesejahteraan awam di dalam daerah Brunei-Muara amnya.

Dikeluarkan Oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

IBU PEJABAT POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI