BRUNEI-MUARA, Khamis, 09 Julai 2026 – Dalam usaha mempertingkatkan kesedaran dan inisiatif membenteras jenayah pemerdagangan orang di Negara Brunei Darussalam (NBD), Unit Siasatan Pemerdagangan Manusia (USPM), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah memberikan taklimat jerayawara mengenai Jenayah Pemerdagangan Orang (Trafficking in Persons) kepada petugas barisan hadapan yang terdiri daripada pegawai-pegawai dan kakitangan di beberapa agensi pelancongan daripada JJ Tours Sdn Bhd, Pan Bright Travel Service Sdn Bhd, Anthony Travel Tours & Travels Sdn Bhd dan Freme Travel Services Sdn Bhd, bertempat di JSJ, PPDB.

Taklimat ini dipengerusikan oleh Ketua Bahagian Jenayah Besar, Penguasa Polis Haji Justin bin Haji Yacob, dan disampaikan oleh S/Sgt 3894 Haji Mohd Hairuna bin Haji Mohd Tahir.

Objektif utama taklimat diadakan adalah untuk mendidik serta memberi kesedaran kepada peserta yang hadir tentang cara-cara mengenal pasti mangsa yang berpotensi terlibat dalam jenayah pemerdagangan di negara ini. Petugas barisan hadapan agensi pelancongan yang terlibat adalah disarankan untuk sentiasa berwaspada dan mengenal pasti identiti pelanggan/pelancong terlebih dahulu yang berkemungkinan terjebak dan dieksploitasi sebagai mangsa pemerdagangan manusia. Kerjasama pihak agensi pelancongan adalah diperlukan untuk memainkan peranan serta mengatasi masalah pemerdagangan manusia dalam sama-sama membantu PPDB memerangi jenayah ini.

Dikeluarkan Oleh :

UNIT PERHUBUNGAN AWAM

PEJABAT PESURUHJAYA POLIS

IBU PEJABAT POLIS

PASUKAN POLIS DIRAJA BRUNEI